KUALA LUMPUR 9 Julai - Program LPPSA i-Prihatin yang mula diperkenalkan hari ini menawarkan pilihan perlindungan kepada pelanggan yang masih mempunyai akaun berstatus aktif.
Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berkata, program kerjasama antara LPPSA dan panel Insurans/Takaful Am LPPSA itu memberi pilihan kepada pelanggan untuk memiliki perlindungan tambahan selain perlindungan Insurans/Takaful Mortgage Reducing Term Assurance / Takaful yang telah diluluskan bersama-sama pembiayaan perumahan sektor awam sebelum ini.
"Melalui Program LPPSA i-Prihatin, pelanggan layak untuk memohon Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok (GPA) dengan bayaran premium sebanyak RM100 setahun dan menikmati perlindungan kewangan tambahan untuk kematian dan kecacatan anggota badan (kekal penuh atau separa kekal) disebabkan kemalangan bernilai RM100,000.
"Manfaat atau perlindungan yang ditawarkan termasuk kematian/keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan, keilatan separuh dan kekal akibat kemalangan, jumlah perlindungan tambahan untuk kematian/keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong di luar negara dan di dalam pengangkutan awam,” jelas LPPSA seperti dilapor Bernama.
Mengulas manjut, LPPSA memberitahu, manfaat dan perlindungan lain turut disediakan seperti perbelanjaan pengebumian akibat kemalangan, perbelanjaan penghantaran pulang jenazah akibat kemalangan, Badal Haji, perbelanjaan pemulihan akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan serta bayaran ambulans.
Jelas lembaga pembiayaan itu, manfaat atau perlindungan yang ditawarkan juga termasuk elaun kecederaan akibat diragut, elaun penyembuhan denggi, perlindungan akibat rompakan ATM dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan.
Pendapatan harian hospital akibat kemalangan ditawarkan melibatkan jumlah maksimum selama 100 hari dalam setahun. - DagangNews.com