LSS Sepang TNB pamer prestasi konsisten 2 tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

LSS Sepang TNB pamer prestasi konsisten 2 tahun berturut-turut

 Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Nawawi Ahmad (kiri) dan Datuk N. Rawisandran melihat dengan lebih dekat panel solar fotovoltaik di ladang Solar Berskala Besar (LSS) di Sepang dalam satu lawatan pada 18 Mac baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Nawawi Ahmad (kiri) dan Datuk N. Rawisandran melihat dengan lebih dekat panel solar fotovoltaik di ladang Solar Berskala Besar (LSS) di Sepang dalam satu lawatan pada 18 Mac baru-baru ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac. - Ladang Solar Berskala Besar (LSS) pertama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terletak di Sepang berjaya merekodkan lebihan jumlah tenaga maksimum yang diisytiharkan untuk tahun kedua berturut-turut.

 

Prestasi konsisten itu dicapai menerusi pengurusan loji secara pintar dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) serta teknologi analisis data.

 

Pengarah Urusan Tenaga Renewables Sdn Bhd (TRe) yang merupakan anak syarikat penuh TNB, Mohd. Yusrizal Mohd Yusof berkata, pihaknya berjaya mengoptimumkan operasi ladang solar itu dengan menggunakan teknologi pemantauan dan analisis data.

 

"Teknologi itu antara lain telah membolehkan TNB untuk mengenalpasti waktu yang paling sesuai untuk membersihkan panel solar berdasarkan tahap penjanaan tenaga dan ramalan cuaca.

 

“Menerusi penggunaan teknologi analisis terkini (pengoptimuman pembersihan), kita dapat mencapai penjimatan kos operasi tahunan sehingga RM160,000.

 

“TRe komited untuk menggunakan penyelesaian inovatif bagi membangunkan keupayaan TNB untuk menjadi pengurus serta pemaju aset RE terkemuka dalam Malaysia dan rantau ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi lawatan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Datuk N. Rawisandran ke ladang solar berkenaan, minggu lalu.

 

Bagi tahun pengoperasian pertama sepanjang 2019, ladang solar itu telah merekodkan lebihan tenaga yang diisytiharkan kepada penerima iaitu TNB sebanyak 6% atau lebih daripada 110,000 megawatt jam (MWh).

 

 Ketua Pegawai Operasi Tenaga Renewables Sdn Bhd (TRe), Khirul Nizam Shamsudin (kanan) memberi penerangan tentang prestasi ladang solar berskala besar (LSS) di Sepang kepada Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad (empat dari kanan) dan Datuk N. Rawisandran (dua dari kanan) di bilik kawalan dalam satu lawatan pada 18 Mac baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi Tenaga Renewables Sdn Bhd (TRe), Khirul Nizam Shamsudin (kanan) memberi penerangan tentang prestasi ladang solar berskala besar (LSS) di Sepang kepada Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad (empat dari kanan) dan Datuk N. Rawisandran (dua dari kanan) di bilik kawalan dalam satu lawatan pada 18 Mac baru-baru ini.

 

Prestasi operasi yang baik itu turut diulangi pada tahun 2020 dengan penjanaan tenaga berjumlah 108,900 MWh atau 5% lebih daripada yang diisytiharkan.

 

Terletak di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor, ladang solar berkapasiti 50 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 238,140 panel fotovaltaik.

 

Ladang solar yang diurus TRe itu memulakan operasi komersialnya pada November 2018.

 

Kecemerlangan TRe dalam pengurusan ladang solar itu telah meraih pengiktirafan daripada Frost & Sullivan dengan Anugerah Pemaju Tenaga Boleh Baharu Malaysia bagi tahun 2020.

 

Mengulas prestasi memberangkan LSS itu, Nawawi berkata, ladang solar itu mencerminkan kekuatan TNB dalam membangunkan dan menguruskan projek ladang solar yang berjaya di Malaysia.

 

“Berbekalkan pengalaman yang kita peroleh setakat ini, saya harap TNB dapat terus memacu perkembangan RE di dalam negara menerusi lebih banyak pembangunan ladang solar,” kata Nawawi.

 

Selain LSS Sepang, TRe juga telah membangunkan LSS Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah yang memulakan operasi komersialnya pada 8 September 2020, 114 hari lebih awal dari yang dijadualkan. 

 

Ladang berkapasiti 30MW itu dilengkapi dengan 134,880 panel solar fotovoltaik.

 

Sementara itu, N. Rawisandran memberitahu, a penggunaan teknologi terkini di ladang solar itu membolehkan TNB memaksimumkan kecekapan ladang itu dan menjana lebih banyak tenaga bersih bagi grid nasional.

 

Kedua-dua LSS Sepang dan LSS Bukit Selambau telah dianugerahkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) (kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli – KeTSA) menerusi Suruhanjaya Tenaga, melalui Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2.

 

TNB juga adalah satu daripada 30 syarikat yang disenarai pendek oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk pembidaan pembangunan projek solar berskala besar 4 (LSS 4)@MEnTARI. - DagangNews.com