LTAT tawarkan pengambilalihan tidak bersyarat baki saham Boustead Plantation pada harga RM1.55 sesaham | DagangNews Skip to main content

LTAT tawarkan pengambilalihan tidak bersyarat baki saham Boustead Plantation pada harga RM1.55 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengeluarkan notis tawaran pengambilalihan mandatori tidak bersyarat bagi kesemua baki saham dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant) yang tidak dipegang oleh LTAT pada harga tawaran RM1.55 sesaham.

 

LTAT berkata, tawaran itu dibuat berikutan pemeteraian perjanjian penjualan saham tanpa syarat (SSA) dengan Boustead Holdings Berhad (BHB) bagi memiliki 739,199,966 saham BPlant yang mewakili kira-kira 33% daripada jumlah saham terbitan Bplant. 

 

Berdasarkan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib, LTAT berkewajipan untuk melanjutkan tawaran itu

 

"Berikutan pengambilalihan yang dinyatakan, LTAT akan memegang 976,406,066 saham dalam BPlant, mewakili 43.59% daripada jumlah saham terbitan BPlant.

 

BACA JUGA: Tok Mat: LTAT meneruskan pembelian Boustead Plantations untuk elak tindakan undang-undang

 

"Tawaran tersebut merupakan langkah signifikan dalam keseluruhan penstrukturan semula LTAT dan pemulihan BHB bagi mengimbangi semula pelaburan portfolionya untuk meletakkan LTAT dalam kedudukan yang lebih baik berbanding profil pulangan risiko," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

BACA JUGA: LTAT dapat jaminan kerajaan untuk pinjam RM2 bilion selamatkan BPlant

 

Tawaran itu akan memberikan fleksibiliti kepada LTAT dalam menetapkan hala tuju strategik Bplant dan mempercepatkan rancangan penciptaan nilai bagi memenuhi objektifnya. 

 

"LTAT kekal teguh dalam meningkatkan kualiti asetnya bagi memberikan pulangan mampan kepada pencarumnya, selaras dengan Pelan Strategik LTAT 2023-2025," katanya. 

 

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata LTAT, telah memutuskan untuk meneruskan pembelian BPlant walaupun selepas cadangan pembelian kepentingan oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) gagal.

 

Ini adalah bagi menjaga kepentingan pemegang saham kumpulan perladangan dan melindungi LTAT daripada tindakan undang-undang yang berpotensi.

 

KLK bercadang untuk memperoleh 33% kepentingan ditambah satu saham dalam Bplant daripada LTAT dan Boustead pada harga RM1.15 bilion, kemudian meneruskan tawaran am mandatori pada RM1.55 sesaham atau RM1.11 bilion secara keseluruhan untuk menswastakan kumpulan perladangan itu, yang akan menyebabkan KLK mengawal 65% kepentingan, dan LTAT 35% lagi.- DagangNews.com