IPOH 5 Jan - Inisiatif syarikat perlombongan terkemuka, Vale untuk membangunkan Manjung sebagai bandar lestari dimulakan dengan kerja-kerja menghasilkan lukisan mural yang menghiasi dinding pekan Beruas.
Ini merupakan sebahagian daripada projek bersepadu antara Vale dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sepertimana yang dimeterai pada November lalu.
Lukisan yang dihasilkan oleh beberapa pelukis berbakat itu mengetengahkan ciri-ciri tradisi, pemberdayaan wanita, sejarah dan budaya yang ada di pekan Beruas.
Ia potret seorang wanita berpakaian tradisional negeri Perak yang dipilih sebagai konsep utama berlatarbelakangkan batik yang melambangkan kesenian abadi wanita yang mahir dalam membuat batik.
Di sebelahnya pula adalah gambar pokok bunga di mana ia merupakan pokok Beruas yang menyerlahkan lagi asal usul nama Beruas.
Siap kelak lokasi ini bolehlah menjadi port wajib untuk orang Beruas mahu pun pengunjung luar datang berfoto merakam kenangan.
Sementara itu, Vale dalam kenyataan memaklumkan, beberapa lagi lukisan mural akan disiapkan di sekitar Beruas untuk menjadikan ia sebagai tempat tumpuan pengunjung.
“Mural ini bakal menjadi satu lagi lokasi tumpuan pelancong yang ingin menyimpan memori indah sewaktu melawat pekan Beruas.
“Bahkan, ada beberapa program lagi yang berpaksikan elemen kelestarian dan inklusif yang bakal menghiasi pekan Beruas yang cantik ini,” ujar kenyataan itu.
Vale pada November lalu bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM5.6 juta kepada MPM bagi melaksanakan pelbagai program bersama MPM untuk tempoh tiga tahun.
Antaranya bagi projek Kebun Komuniti Bandar di tujuh Kawasan Rukun Tetangga dengan peruntukan kira-kira RM600,000.
Peruntukan lain untuk menaik taraf kemudahan awam dan landskap menerusi projek seni jalanan, mural dan sebagainya yang menyumbang kepada tarikan pelancongan.- DagangNews.com