Lupus 602.5 ekar tanah, unjuran perolehan FY22 WCT ditingkatkan kepada RM129 juta | DagangNews Skip to main content

Lupus 602.5 ekar tanah, unjuran perolehan FY22 WCT ditingkatkan kepada RM129 juta

WCT Holdings Bhd (WCT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Unjuran perolehan syarikat pembinaan dan kejuruteraan, WCT Holdings Bhd (WCT) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) ditingkatkan kepada RM129 juta.

 

Kenanga Research berkata, unjuran tersebut ditingkatkan dengan mengambil kira keuntungan kepada syarikat tersebut selepas melupuskan 602.5 ekar tanah di Ulu Selangor dengan harga RM214.2 juta.

 

"Kami secara positif melihat transaksi kerana WCT tidak mempunyai perancangan langsung untuk tanah berkenaan.

 

"Selepas penjualan, kami meningkatkan unjuran perolehan FY22 sebanyak 54% kepada RM129 juta untuk mengambil kira keuntungan dalam penjualan.

 

"Bagaimanapun, harga sasaran sesaham (TP) WCT dikekalkan pada nilai RM0.64," jelas Kenanga Research.

 

WCT telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) dengan MDCon (Simpang Empat) Sdn Bhd untuk melupuskan 12 bidang tanah pegangan bebas berkeluasan 602.5 ekar yang terletak di Serendah, Ulu Selangor dengan harga RM214.3 juta.

 

Pelupusan yang akan mengambil masa hingga sembilan bulan dan dijangka selesai menjelang Mei 2022.

 

Selain itu, pelupusan tersebut dijangka menjana keuntungan selepas cukai sebanyak RM45.5 juta kepada WCT.

 

Sebahagian besar iaitu RM105 juta daripada hasil jualan tersebut akan digunakan bagi modal kerja di samping RM100 juta bagi pembayaran balik pinjaman.

 

Mengulas perkara sama, PublicInvest Research berkata, pihaknya 'neutral' terhadap keputusan pelupusan tersebut kerana perkara itu sememangnya adalah sebahagian daripada keutamaan pengurusan untuk menjana aset bukan teras khususnya melalui penjualan tanah selain memperkukuh kedudukan kewangan dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

"Kami tidak membuat perubahan dalam unjuran kami sementara menunggu penyelesaian pelupusan tersebut di samping mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah iaitu RM0.52," jelas  PublicInvest Research. - DagangNews.com