MAG dilantik rakan penerbangan rasmi MATTA, mengukuhkan pakatan lama menyokong industri pelancongan | DagangNews Skip to main content

MAG dilantik rakan penerbangan rasmi MATTA, mengukuhkan pakatan lama menyokong industri pelancongan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Malaysia Aviation Group (MAG) diumumkan sebagai rakan penerbangan rasmi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk tempoh dua tahun sehingga 2025.

 

Kerjasama itu dicapai menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang turut menyaksikan MAG sebagai Penaja Premier Pameran MATTA bermula di ibu negara bulan depan.

 

Menerusi MoU itu, MAG dapat meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam acara pameran pelancongan terbesar negara yang kali ini berlangung selama tiga hari bermula 22 Mac 2024.

 

Menurut MAG, kerjasama ini juga mengukuhkan lagi pakatan lama antara MAG dan MATTA dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan.

 

"Kedua-dua rakan kongsi akan memanfaatkan keupayaan satu sama lain dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan utama dan pintu masuk ke Asia yang disokong oleh anak syarikat MAG, Malaysia Airlines, Firefly, AMAL, MASwings, Enrich dan Journify," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Kata MAG, inisiatif kerjasama ini akan turut disokong MATTA di peringkat negeri setiap kali pameran berlangsung di seluruh negara.

 

"MAG akan menyokong Peraduan Pembeli Pameran MATTA dengan hadiah tiket penerbangan, menyediakan tambang eksklusif kepada ejen pelancongan yang mengambil bahagian dan menjalankan promosi silang rentas aset MAG semasa Pameran MATTA," kata syarikat itu.

 

ARTIKEL BERKAITAN:  MAG buka pejabat tiket penerbangan Malaysia Airlines, Firefly, MASwings di Paradigm Mall

 

mag

 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi pula berkata, perkongsian ini bukan sahaja menyemarakkan industri pelancongan tetapi mampu membawanya ke arah kemajuan yang baharu.

 

"Kami tidak sabar untuk menawarkan pelanggan Pameran MATTA satu pengalaman baharu yang memudahkan keperluan perjalanan ke Asia dan seterusnya,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, kerjasama ini menandakan detik penting dalam komitmen berterusan untuk memajukan industri pelancongan Malaysia. 

 

"Menerusi kerjasama dengan MAG, KAMI memanfaatkan kekuatan bersama untuk mencipta peluang menarik dan meningkatkan pengalaman perjalanan yang ditawarkan di Pameran MATTA 2024.

 

"Pakatan yang diperkukuh ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan yang mampan dalam sektor pelancongan tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kemakmuran ekonomi negara. 

 

"Bersama-sama dengan MAG, kami bersedia untuk menjadikan Pameran MATTA 2024 sebagai kejayaan yang memberangsangkan dan menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan dalam industri pelancongan," ujarnya. - DagangNews.com