MaGIC - Penjana Kapital lancar peringkat awal Dana Penjana Nasional | DagangNews Skip to main content

MaGIC - Penjana Kapital lancar peringkat awal Dana Penjana Nasional

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) menerusi kerjasama Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) menawarkan peringkat awal atau seed stage kepada syarikat permulaan untuk mencari peluang pelaburan di bawah program Dana Penjana Nasional (DPN).

 

Pada peringkat berkenaan, MaGIC bakal menyalurkan alumni-alumni institusi tersebut untuk modal teroka (VC) bagi merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh syarikat permulaan. 

 

MaGIC dalam satu kenyataan memberitahu, VC yang terlibat dalam peringkat awal itu adalah Tenggara Capital Partners - IMO Ventures dan The Hive SouthEast Asia - Tuas Capital Partners. 

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Amiruddin Abdul Shukor berkata, sebagai salah satu agensi yang memainkan peranan penting dalam ekosistem itu, pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi oleh syarikat permulaan. 

 

Amiruddin Abdul Shukor
Amiruddin Abdul Shukor

 

“Kami sentiasa menekankan kepentingan pembinaan kapasiti dan kami gembira dapat mengenal pasti syarikat permulaan yang mempunyai potensi dan memperkenalkan mereka kepada Penjana Kapital serta rakan VC. 

 

“Pembiayaan sentiasa menjadi cabaran utama untuk syarikat permulaan meningkatkan skala mereka dan kami mahu merapatkan jurang ini menerusi DPN,” jelasnya dalam satu kenyataan. 

 

Menerusi DPN yang diuruskan oleh Penjana Kapital, kerajaan akan memadankan hingga RM600 juta, berdasarkan padanan 1:1, dana yang dijana oleh pengurus VC dari pelabur tempatan asing dan swasta, dengan sasaran peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.

 

Program yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) itu bertujuan merapatkan jurang pembiayaan di dalam negara dengan memberi insentif modal swasta untuk membantu mengembangkan syarikat permulaan sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

 

Setakat Mei 2021, Penjana Kapital berjaya mengumpulkan RM850 juta dengan lebih separuh daripadanya merupakan pelaburan dari Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura. 

 

Menerusi penglibatan MaGIC, agensi itu menawarkan pembangunan kapasiti, kerjasama keusahawanan, memudahkan akses pasaran dan modal kepada syarikat permulaan. 

 

Sejak permulaan operasinya pada tahun 2014, program MaGIC telah memberi impak kepada 100,000 usahawan, 2,800 syarikat permulaan dan mencipta nilai ekonomi sehingga RM2.1 bilion.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Penjana Kapital, Taufiq Iskandar berkata, kerjasama dengan MaGIC akan melonjakkan objektif DPN untuk mengatasi jurang pembiayaan inovasi dan mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang telah diheret turun oleh pandemik COVID-19. 

 

Taufiq Iskandar
Taufiq Iskandar

 

“Pengalaman MaGIC di dalam ekosistem syarikat permulaan, terutamanya syarikat permulaan teknologi akan membantu kami untuk menyelaraskan perniagaan pendigitalan dan automasi Malaysia menerusi inovasi. 

 

“Kami menyedari peringkat awal ini berdepan cabaran pembiayaan dan dengan kerjasama MaGIC, kami percaya dapat membantu mereka menangani semua ini,” katanya. - DagangNews.com