'MAH Cares' peruntuk lebih RM200,000 edar bantuan makanan untuk pekerja industri hotel | DagangNews Skip to main content

'MAH Cares' peruntuk lebih RM200,000 edar bantuan makanan untuk pekerja industri hotel

 'MAH Cares' peruntuk lebih RM200,000 edar bantuan makanan untuk pekerja industri hotel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Persatuan Hotel Malaysia (MAH)  melalui program 'MAH Cares' memperuntukkan bantuan bernilai RM200,000 melalui ahli kesatuan di kawasan tertentu untuk mengedarkan barangan keperluan dan bekalan makanan kepada pekerja industri hotel.

 

Inisiatif berkenaan akan memberi manfaat kepada ribuan keluarga kakitangan hotel dalam aspek barangan asas dan barangan keperluan.

 

Insiatif berkenaan juga akan memberi kesedaran terhadap keperluan industri selain menggalakkan sektor awam dan swasta untuk sama-sama menyokong industri pelancongan dan hotel di Malaysia.

 

Program MAH Cares mendapat tajaan daripada Yeo Hiap Seng (Yeo's) yang merupakan jenama makanan dan minuman isi rumah yang kukuh di Malaysia.

 

.

 

Turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Amal Ng Teng Fong, Yeo's membantu menyempurnakan program berkenaan dengan membekalkan makanan dan minuman bernilai lebih RM100,000.

 

Tajaan langsung itu secara tidak langsung membolehkan MAH membantu lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan.

 

Mengulas berkaitan program CSR itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yeo's, Samuel Koh berkata, sebagai sebuah syarikat yang kukuh di Malaysia, pihaknya tampil memberi bantuan dan sokongan kekeluargaan dalam tempoh mencabar ini. 

 

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MAH kerana menyusun program bantuan ini dengan cekap bagi menyokong industri," katanya dalam satu kenyataan.

 

MAH menganggarkan kira-kira 120 hotel ditutup sama ada sementara atau kekal akibat pandemik COVID-19  di samping kehilangan pendapatan lebih RM6.5 bilion bagi tahun 2020.

 

Impak tersebut berkemungkinan akan menyebabkan kehilangan RM9 bilion lagi bagi tempoh semasa 2021. 

 

Sementara itu, Pengarah Yayasan Amal Ng Teng Fong, Daryl Ng memberitahu, pihaknya sentiasa bersama mereka yang terkesan dalam tempoh mencabar ini dan kami berusaha untuk memberi sokongan dengan apa yang kami mampu.

 

"Berbeza daripada sebelumnya, kita perlu berganding bahu sebagai satu komuniti dan saling melindungi untuk sama-sama mendepani cabaran," katanya lagi.

 

MAH dalam masa sama telah menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Pelancongan tersendiri yang terdiri daripada pakar industri bagi merumuskan strategi yang mendorong kepada pemulihan industri pelancongan.

 

Selain bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), jawatankuasa tersebut juga turut menggerakkan projek pemasaran dan promosi bagi parasan domestik dan antarabangsa.

 

Tidak cukup dengan itu, MAH juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan digital dan pelancongan bagi memperkasa ahli dan industri bagi mencapai pemulihan yang lebih berdaya saing.

 

Presiden MAH, Datuk N Subramaniam berkata, pihaknya menyedari keperluan industri dan akan terus menyokong anngotanya secara langsung dan tidak langsung, serta menjalinkan kerjasama dengan kerajaan dalam memastikan kelangsungan industri pelancongan untuk mencapai pemulihan yang lebih baik," ujar beliau. - DagangNews.com