Mah Sing, PT Gaya bentuk syarikat kerjasama bagi luaskan peniagaan pembuatan palet plastik di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Mah Sing, PT Gaya bentuk syarikat kerjasama bagi luaskan peniagaan pembuatan palet plastik di Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - Mah Sing Group Berhad menerusi Mah Sing Plastics Industries Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama induk dengan PT Gaya Sukses Mandiri Kaseindo (PT Gaya) bagi menjalankan perniagaan berkaitan pembuatan dan perdagangan palet plastik di Indonesia.

 

Menerusi perjanjian itu, usaha sama itu perlu dilakukan menerusi pembentukan syarikat kerjasama (JV) dengan Mah Sing Plastics Industries akan memegang 70% pegangan saham manakala baki 30% dipegang PT Gaya.

 

Kumpulan itu berkata, usaha itu adalah bagi mengembangkan operasi pembuatan palet plastik bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Indonesia selain mengatasi kekangan kapasiti kemudahan di Malaysia.

 

Katanya, pasaran palet plastik Indonesia mewakili peluang pertumbuhan yang ketara bagi kumpulan itu dan pada masa ini ia dikuasai oleh palet kayu tradisional, terdapat trend yang semakin meningkat serta permintaan untuk alternatif mesra alam yang boleh dikitar semula, terutamanya palet plastik.

 

"Peralihan ini adalah selaras dengan inisiatif kemampanan global dan sejajar dengan keutamaan perniagaan yang mementingkan alam sekitar.

"Dengan memasuki pasaran Indonesia, kami boleh memanfaatkan permintaan yang semakin berkembang ini dan meletakkan diri sebagai pembekal terkemuka bagi rumusan palet mampan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mah Sing berkata, kilang palet plastik sedia ada di Malaysia beroperasi pada kapasiti hampir penuh dalam memenuhi permintaan tempatan dan pasaran eksport.

 

Katanya, peluasan ke Indonesia bukan sahaja akan mengurangkan tekanan pada kemudahan Malaysia tetapi juga akan meletakkan mereka secara strategik untuk memanfaatkan permintaan global yang semakin meningkat.

 

Kumpulan itu berkata, usaha mengembangkan perniagaan ke Indonesia membuka ruang lebih luas kepada mereka untuk memasuki lebih banyak pasaran ASEAN dan merupakan sebahagian daripada rancangannya untuk meningkatkan kehadirannya di pasaran global.

 

"Kumpulan itu berhasrat untuk menyenaraikan perniagaan pembuatan bagi membuka kunci nilainya dalam masa terdekat.

 

"Antara rakan kongsi atau pelanggan kumpulan itu dalam bahagian pembuatan plastik termasuk Nestle, Coca-Cola, KFC, DHL, Petronas, Shell, Pfizer, Ajinomoto dan Bosch," katanya.

 

Kerjasama itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama Mah Sing.

 

Ia juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan penggearan Mah Sing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.


 

 - DagangNews.com