Mah Sing teroka sektor penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Mah Sing teroka sektor penjagaan kesihatan


KUALA LUMPUR 24 Julai – Syarikat pemaju hartanah, Mah Sing kini meneroka peluang pertumbuhan di dalam sector penjagaan kesihatan menerusi divisyen pembuatan plastiknya.

Menurut Maybank IB, pihaknya mengadakan perbincangan dengan pengurusan Mah Sing semalam, yang menyebut hasrat syarikat tersebut.

Bagaimanapun, tiada butiran dinyatakan sama ada mengenai jenis produk, tempoh masa, perbelanjaan modal dan sebagainya.

``Kami difahamkan divisyen pembuatan plastik Mah Sing mempunyai pasukannya sendiri dan beroperasi secara berasingan dengan Mah Sing terus kekal menumpu kepada perniagaan hartanah

``Divisyen plastik menyumbang kira-kira 18% kepada keseluruhan perolehan syarikat dan 6.7% keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2019,’’ kata Maybank IB di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pelancaran hartanah terbaharu syarikat telah menerima sambutan dengan kadar  purata tempahan ialah 90%.

Projek apartmen M Adora di Wangsa Melawati terdiri dua bangunan iaitu Menara A mengandungi 378 unit telah 90% ditempah dan ia mendorong pembukaan tempahan untuk Menara B.

adora
Projek apartmen M Adora di Melawati yang dibangunkan oleh Mah Sing.

 

Projek M Luna di Kepong pula menerima kadar tempahan 91% dengan fasa 1 projek iaitu 600 unit baru saja dilancarkan pada bulan lalu.

``Tahun ke Tarikh (YTD) hari ini, Mah Sing memiliki jumlah keseluruhan kira-kira RM1 bilion yang menanti ditukar kepada perjanjian jual beli.

``Pihak pengurusan Mah Sing mengekalkan sasaran jualan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM1.6 bilion.

``Oleh itu, Maybank IB juga mengekalkan unjuran perolehan syarikat tersebut dan menaik taraf saranan kepada `beli’. Sahamnya disokong oleh hasil dividen 6%,’’ kata Maybank IB. – DagangNews.com