Mah Sing untung RM22.4j pada Q2 | DagangNews Skip to main content

Mah Sing untung RM22.4j pada Q2

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kumpulan Mah Sing Berhad (Mah Sing) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM22.4 juta pada suku kedua 2020 (2Q20).

Angka itu menjadikan keuntungan sebelum cukai syarikat pada separuh tahun pertama 2020 (1H20) bernilai RM65.6 juta dengan hasil RM669.8 juta.

Kunci kira-kira (balance sheet) Mah Sing pula kekal stabil dengan baki tunai dan bank berjumlah RM1.13 bilion setakat 30 Jun 2020 sekali gus meletakkan kumpulan syarikat itu berada dalam kedudukan baik untuk meneruskan usaha perluas pemilikan tanah di Lembah Klang dan meneroka peluang bisnes baharu.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) secara umumnya memberi cabaran kepada semua pemaju memandangkan kawasan pembinaan terpaksa dihentikan sementara serta terdapat juga kelewatan dalam kelulusan pinjaman untuk penukaran penjualan.

 

Leong Hoy Kum
Leong Hoy Kum

 

"Pada masa ini, kami fokus menukar pesanan penjualan RM1.6 bilion kami, membersihkan stok yang ada dan mengejar perkembangan pembinaan projek.

“Baru-baru ini, kami berjaya menyerahkan pemilikan kosong menara C dan D di Lakeville Residence, Taman Wahyu dan menara Cerrado A dan B di Southville City @ KL South, Bangi,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mah Sing turut memberi 4% keuntungan kepada pemegang saham sebagai dividen salama 14 tahun berturut-turut.

Dividen sebanyak 3.35 sen pula diberikan kepada pemegang saham biasa pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2019 yang akan dibayar pada 29 September 2020.

Sementara itu, Mah Sing menyemak semula sasaran jualan 2020 kepada RM1.1 bilion daripada RM1.6 bilion kerana memerlukan tempoh lebih lama untuk menukar tempahan yang sedia ada kepada jualan.

Jelas kumpulan itu, walaupun terdapat lonjakan dalam permohonan penggadaian pada Jun lalu, namun kadar kelulusan menurun kepada 24.6% berbanding 32.6% pada Mei 2020 disebabkan pihak bank melaksanakan polisi lebih ketat untuk meluluskan pinjaman.

Bagi tahun 2020, beberapa projek bakal dilancarkan oleh Mah Sing dalam segmen mampu milik termasuk Carya di M Aruna, Rawang, blok M Vertica di Cheras dan Ferringhi Residences 2 di Pulau Pinang serta Acacia, perumahan bersambung Jasmine 1 dan 3 di Meridin East, Johor Bahru.

“Prospek jangka panjang tetap positif disokong oleh permintaan asas yang kuat terhadap hartanah kerana demografi Malaysia yang terdiri daripada golongan muda serta pembentukan isi rumah yang kukuh melebihi tawaran tahunan. Penduduk Malaysia masih sangat muda dengan 66% di bawah 40 tahun, menyumbang kepada pembentukan isi rumah yang kukuh.

“Persekitaran kadar faedah rendah yang menarik didorong oleh pelbagai faktor termasuk potongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang memberikan kedudukan lebih baik kepada pembeli untuk memiliki hartanah. Pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) di bawah Penjana dan pelbagai insentif mesra hartanah pasti akan membantu merangsang pasaran ini,” tambah Hoy Kum. – DagangNews.com