MAHB hantar surat guaman, tuntut hutang RM78 juta dari AirAsia X - sumber | DagangNews Skip to main content

MAHB hantar surat guaman, tuntut hutang RM78 juta dari AirAsia X - sumber

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) didakwa telah menghantar surat guaman yang menyatakan pendiriannya untuk tidak setuju dengan skim penstrukturan pinjaman oleh AirAsia X Berhad (AAX).

Surat itu antara lainnya mendesak AAX untuk mengeluarkan MAHB daripada senarai kreditor tidak bercagar dalam skim penstrukturan pinjaman bernilai RM63 bilion syarikat penerbangan itu, menurut sumber seperti dilaporkan theedgemarkets.

Berdasarkan surat berkenaan, sekiranya AAX gagal berbuat demikian, MAHB akan campur tangan ketika pendengaran penstrukturan hutang di mahkamah.

Difahamkan, mahkamah akan mendengar permohonan AAX untuk melakukan penyusunan pada akhir bulan ini.

Berserta surat yang didakwa dihantar lapan hari selepas pengumuman skim penstrukturan itu, MAHB turut menuntut hutang sebanyak RM78 juta daripada AirAsia X yang dipinjamnya.

Baca : Penstrukturan hutang AirAsia X: Kreditor tiada pilihan lebih baik, kata CGS-CIMB

Sekiranya gagal, MAHB akan meneruskan langkah merampas, membuang dan memusnahkan semua aset AAX di lapangan terbang.

Jumlah hutang RM78 juta itu merupakan caj aeronatik yang termasuk RM60 juta caj perkhidmatan penumpang.

Dalam surat berkenaan, MAHB mendakwa bahawa dengan langkah AAX untuk memasukkannya ke dalam senarai skim tersebut, syarikat penerbangan itu tiada niat untuk membayar hutang yang dipinjam.

Dakwanya, keputusan untuk tidak membayar caj penerbangan aeronatik sama dengan ‘pecah amanah sivil dan berpotensi melakukan jenayah’, di mana Pengarah AAX boleh dikenakan tindakan undang-undang secara peribadi. 

AAX memerlukan sebanyak 75% daripada kreditor untuk bersetuju dengan rancangan itu.  -   DagangNews.com