MAHB jamin kemuka cadangan projek utama lapangan terbang di Sarawak kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia | DagangNews Skip to main content

MAHB jamin kemuka cadangan projek utama lapangan terbang di Sarawak kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia

Lee Kim Shin menerima cenderamata daripada Gordon Andrew Stewart sempena kunjungan hormat dan penyampaian taklimat MAHB kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak di Kuching semalam. Turut mengiringi Abdullah Kadir Batcha (empat kanan) dan Mohd Khairuddin (tiga kanan).

KUCHING 12 Jan - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberi jaminan akan mengemukakan cadangan projek projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Miri kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

 

Ini termasuk tindakan susulan selanjutnya terhadap dua projek utama berkenaan yang memerlukan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.

 

Pengurus Besar Perancangan dan Pembangunan MAHB, Mohd Khairuddin Shafie berkata, projek utama itu membolehkan KIA menampung pertambahan daripada 5 juta kepada 7.7 juta penumpang setahun dan daripada dua juta kepada tiga juta penumpang setahun (MPPA) untuk Lapangan Terbang Miri.

 

"MAHB juga telah memperkenalkan penggunaan Buggy di KIA yang terletak di Aras 2 untuk penumpang domestik dan di Aras 3 untuk penumpang antarabangsa," katanya.

 

Mohd Khairuddin berkata demikian semasa sesi kunjungan hormat dan penyampaian taklimat mengenai prestasi MAHB kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin di sini semalam seperti dilapor Utusan Borneo.

 

Delegasi MAHB diketuai Ketua Pegawai Operasi (COO) bagi organisasi operasi lapangan terbang Malaysia, Gordon Andrew Stewart dan hadir sama Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan dan Hal Ehwal Kawal Selia MAHB, Datuk Abdullah Kadir Bacha.

 

Menurut Mohd Khairuddin, MAHB telah meluluskan RM27.6 juta perbelanjaan modal (capex) pada 2023 dan masih belum menyiapkan projek bernilai RM17 juta lagi sehingga suku pertama 2024.

 

Katanya projek tersebut adalah untuk lapangan terbang dan STOLports di Miri, Sibu, Bintulu, Limbang dan Lawas.

 

"Landasan Bario Stolport juga telah diluluskan dengan kos RM28 juta di bawah Rangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam Rolling Plan ketiga dan kini dalam peringkat perancangan di bawah JKR Sarawak,” katanya.

 

Mohd Khairuddin turut menekankan bahawa MAHB telah membaik pulih tandas di KIA, penggantian passenger boarding bridge (PBB) di Miri dan Bintulu, membaiki permaidani di Sibu dan membaik pulih kemudahan bilik VIP di Bintulu.

 

“Bagi projek MAHB 2024, ia termasuk penurapan semula turapan, PBB tambahan untuk Miri, pencahayaan tanah lapangan terbang, mesin imbasan, projek elektrik dan IT di Miri, Mulu, Bintulu dan Kuching,” katanya.

 

Sementara itu Lee semasa pertemuan menekankan beberapa isu yang dibangkitkan oleh penumpang mengenai kebersihan dan penyelenggaraan tandas secara keseluruhan, kemudahan premis makanan di terminal antarabangsa KIA dan penggunaan jambatan udara di empat lapangan terbang utama. 

 

Beliau juga menasihati pengendali PBB supaya menepati masa dan bersiap sedia untuk penerbangan yang mungkin mendarat lebih awal daripada masa yang dijadualkan.

 

“Kuching adalah Pintu Selatan manakala Miri adalah Pintu Utara ke Sarawak dan adalah penting untuk membangunkan kedua-dua lapangan terbang ini yang kadang-kadang tertangguh akibat pertukaran kerajaan dan penutupan akibat pandemik di negara ini,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan mulai 2024 lebih banyak penerbangan antarabangsa akan menggunakan dua lapangan terbang berkenaan sebagai pintu masuk utama ke Sarawak, terutama dengan peningkatan penerbangan dari Jakarta, Singapura dan prospek dari wilayah China.

 

Kementerian Pengangkutan Sarawak percaya bahawa dengan penglibatan aktif dengan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di Sarawak, ia akan memainkan peranan besar dalam menyelesaikan banyak isu mobiliti udara, pengalaman penumpang sekali gus meningkatkan kecekapan dalam mobiliti orang dan barangan di Sarawak.

 

“Paling penting, kita perlu bekerjasama rapat dengan semua pemain industri dalam membangunkan industri penerbangan di Sarawak ke arah industri yang berdaya tahan, mampan dan berdaya saing,” ujarnya.- DagangNews.com