MAHB, NADMA tingkatkan persiapan hadapi cabaran pengurusan bencana udara | DagangNews Skip to main content

MAHB, NADMA tingkatkan persiapan hadapi cabaran pengurusan bencana udara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Malaysia Airports (MAHB) menerusi Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganjurkan program Webinar Pengurusan Bencana Udara Peringkat Kebangsaan hari ini.

 

Program tersebut bertujuan bagi memperkasa pengetahuan dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara agensi-agensi terlibat dalam mendepani cabaran pengurusan bencana udara di Malaysia. 

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya sentiasa peka dalam memastikan operasi penerbangan di setiap lapangan terbang memenuhi piawaian yang telah ditetapkan termasuklah menyediakan pasukan AFRS yang terbaik. 

 

"Kami sentiasa memperkasakan AEP yang bertujuan untuk meminimakan kesan daripada kecemasan, aspek menyelamatkan nyawa dan memastikan kelestarian operasi penerbangan di Malaysia tidak terjejas. 

 

"Usaha ini selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan risiko bencana dengan merangka, menyelaras dan melaksana program pencegahan dan mitigasi bencana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu, webinar ini membantu peserta memahami kandungan dan intipati dokumen berkaitan Manual Search And Rescue (SAR) Kebangsaan, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara (MKN Arahan 20) serta Pelan Kecemasan Aerodrom (AEP). 

 

Program webinar bertemakan 'Mendepani Cabaran Pengurusan Bencana Udara di Malaysia' disertai hampir 700 orang peserta daripada 16 agensi kerajaan serta swasta yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

 

Sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) yang berlangsung pada bulan Oktober setiap tahun, program hari ini merupakan antara libat urus NADMA bersama agensi-agensi berkaitan dalam memperkukuhkan pengurusan bencana negara. 

 

 

MAHB

 

 

MAHB

 

 

Kesiapsiagaan bencana merupakan satu proses berterusan yang perlu sentiasa dikemas kini agar mutakhir serta inklusif dan tindakan proaktif ini perlu dalam memastikan tindakan pengurusan bencana negara berada pada tahap tertinggi.

 

Selain Malaysia Airports dan NADMA sebagai penganjur bersama, webinar ini turut disertai Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Pegawai Daerah/Residen/Datuk Bandar, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

 

 

MAHB

 

 

Ia turut disertai Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Senai Airport Terminal Services (SATS) dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA). 

 

Lebih 300 latihan kecemasan aerodrom telah dijalankan oleh AFRS dari tahun 2017 sehingga September 2022 di lapangan-lapangan terbang kendalian MAHB seluruh negara.

 

Ia bertujuan untuk menilai keupayaan sumber manusia dan aset daripada semua agensi berkaitan bagi mempertingkat kesiapsiagaan serta koordinasi dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana udara di Malaysia. - DagangNews.com