MAHB sasar pembukaan semula semua ruang runcit KLIA menjelang suku pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

MAHB sasar pembukaan semula semua ruang runcit KLIA menjelang suku pertama 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Nov - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyasarkan pembukaan semula semua ruang runcitnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang suku pertama 2024 dan 90% daripadanya menjelang hujung tahun ini.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Mohamed Rastam Shahrom berkata, kemeriahan sudah kembali memenuhi KLIA dan kedai-kedai akan dibuka sepenuhnya pada suku tahun pertama tahun hadapan.

 

"Sebahagian besar kedai akan dibuka semula menjelang akhir tahun menjadikan 90% daripada jumlah keseluruhan dan saya berharap kemeriahan itu akan menjadikan KLIA kembali bersinar," katanya selepas menghadiri majlis perasmian dua kedai bebas cukai Eraman oleh anak syarikat Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd., hari ini.

 

MAHB sedang melakukan pemulihan skala besar kawasan peruncitan dan makanan dan minuman (F&B) di KLIA.

 

Mohamed Rastam bagaimanapun tidak menemui petugas media selepas majlis perasmian, justeru masih tidak jelas berapa peratusan terkini yang masih belum dibuka dan sama ada cawangan ini menjana pendapatan sewa kepada kumpulan.

 

MAHB
Mohamed Rastam Shahrom (kiri) dan Pengurus Besar Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd., Md Fadzwin Abdul Rahim (kanan) pada majlis perasmian dua kedai bebas cukai Eraman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Gambar/The Edge

 

Beliau dalam ucapannya berkata, perniagaan bebas cukai kembali mencatatkan keuntungan selepas pemulihan penumpang di KLIA.

 

“Eraman kemabali mencatatkan keuntungan menguntungkan dan ia merupakan perniagaan yang fokus kepada pelanggan.

 

“Sejak sedekad lalu, peruncitan telah menjadi komponen penting dalam memastikan kejayaan lapangan terbang. Bagi pengendali lapangan terbang, ia telah menjadi penyumbang penting kepada pendapatan dan merupakan faktor kejayaan utama dalam kedudukan lapangan terbang.

 

"Pada 2022, Eraman menyumbang RM262.4 juta kepada pendapatan kumpulan," katanya.

 

Mohamed Rastam dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bulan lepas selepas Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood meletak jawatan sebagai pengarah urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan.

 

Pemergian Iskandar Mizal berlaku ketika keraguan semakin meningkat terhadap keupayaan MAHB memenuhi tarikh akhir dalam memulakan operasi kereta api pertama penggerak orang automatik, atau lebih dikenali sebagai aerotrain, menjelang Julai tahun depan, kerana pengendali lapangan terbang itu masih belum melantik kontraktor utama untuk bagi projek bernilai RM742.95 juta selepas menamatkan khidmat Pestech Technology Sdn. Bhd. - DagangNews.com