MAHB terus catat kerugian jika kes COVID-19 kian meningkat | DagangNews Skip to main content

MAHB terus catat kerugian jika kes COVID-19 kian meningkat

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan terus mencatat kerugian sekiranya kes COVID-19 kian meningkat dan vaksinnya belum ditemui. 

Sehubungan itu, Hong Leong Investment bank (HLIB) merendahkan prospek pemulihan MAHB pada tahun kewangan 2021 (FY21) berdasarkan jangkaan permintaan perjalanan udara menurun.

“Dengan sekatan berterusan terhadap perjalanan antarabangsa, MAHB berdepan risiko kerugian berterusan, kecuali vaksin berjaya ditemukan dan diberikan kepada masyarakat umum.

“Disebabkan oleh penularan COVID-19 berterusan, MAHB dijangka kekal mencatatkan kerugian pada FY21 dengan aliran tunai menyusut.

“(Kecuali), sekiranya pihak pengurusan mempunyai mudah tunai (liquidity) antara 2021 hingga 2022,” kata HLIB dalam nota kajiannya. 

HLIB mengekalkan saranan ‘jual’ saham MAHB dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM4.15 berbanding RM4.35 sebelum ini. 

Langkah kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di kawasan panas dengan langkah kuarantin meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kemudahan perjalanan yang mungkin mempengaruhi permintaan perjalanan udara domestik.

Menurut HLIB, lapangan terbang di Sabah dan Kedah masing-masing mencatatkan 10.1 juta dan 900,000 pergerakan penumpang domestik atau jumlah keseluruhan 21.2% daripada pergerakan domestik syarikat itu. 

Sehubungan itu, HLIB merendahkan jangkaan penumpang pada tahun kewangan 2020 kepada 68.2% daripada 47.9, diikuti oleh pertumbuhan masing-masing pada FY21 dan FY22 iaitu 76.6% dan 48.8%. - DagangNews.com