Mahkamah tangguh penghakiman ingkar AEON BiG Subang, 6 Ogos depan | DagangNews Skip to main content

Mahkamah tangguh penghakiman ingkar AEON BiG Subang, 6 Ogos depan

aeon big

KUALA LUMPUR 16 Julai - Mahkamah Tinggi Alor Setar telah menangguhkan pelaksanaan penghakiman ingkar ibu pejabat AEON Big (M) Sdn. Bhd. di Subang yang bertarikh 9 Jun lalu.

Keputusan itu sekali gus membenarkan pasaraya AEON Big itu untuk terus beroperasi seperti biasa. 

AEON Big dalam satu kenyataan berkata, perbicaraan untuk mengetepikan penghakiman ingkar berjumlah RM142 juta yang dibuat terhadap syarikat telah ditetapkan pada 6 Ogos 2020.

“AEON Big telah memperoleh deklarasi mahkamah tinggi dari Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 November 2019 untuk menyatakan bahawa perjanjian yang ditandatangani antara AEON Big dan Mega Continental Sdn. Bhd. memihak kepada AEON Big.

“AEON Big menekankan bahawa terdapat banyak isu penting lain yang harus diteliti dan diberi keutamaaan pada waktu ini seperti menjaga kelestarian ekonomi, melindungi kepentingan dan kesihatan awam serta menjamin pekerjaan berterusan kepada rakyat,” katanya. 

Baca : AEON Big Subang tidak ditutup

Sebelum ini, sebuah portal berita bisnes tempatan melaporkan pasaraya AEON Big di Subang akan ditutup susulan didakwa gagal melunaskan tuntutan penghakiman ingkar sebanyak RM140 juta.

Menurut laporan berkenaan, hal itu merupakan rentetan daripada penutupan AEON Big di Alor Setar sebelum tarikh sepatutnya dan Mega Continental dipercayai merupakan pemilik pasaraya tersebut. 

Bagaimanapun, sumber dalaman AEON Co. (M) Berhad mendedahkan kepada DagangNews.com bahawa dakwaan ibu pejabat AEON Big di Subang akan ditutup adalah tidak benar.

Malah, pasaraya itu sebenarnya ditutup sementara bagi kerja penyelenggaraan.

Dalam perkembangan lain, AEON Big mengesahkan bahawa syarikat itu akan membuka satu lagi pasarayanya yang ke-22 di Malaysia iaitu AEON Big Jaya One di Petaling Jaya mulai 23 Julai 2020. 

Pasaraya berkeluasan 41,527 kaki persegi itu akan memberi pekerjaan kepada lebih 150 orang pekerja. 

“Walaupun menghadapi cabaran besar disebabkan oleh COVID-19, pihak pengurusan mengunjurkan keuntungan yang lebih pada separuh pertama 2020 berbanding tahun-tahun sebelumnya sejak syarikat mengambil alih perniagaan dari Carrefour pada tahun 2012,” tambahnya. - DagangNews.com