Mahu selaraskan penilaian agensi, Maybank hentikan perkhidmatan penarafan Fitch | DagangNews Skip to main content

Mahu selaraskan penilaian agensi, Maybank hentikan perkhidmatan penarafan Fitch

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Tindakan firma antarabangsa, Fitch Ratings untuk menarik langkah penilaian ke atas Malayan Banking Berhad (Maybank) adalah susulan daripada keputusan yang diambil oleh bank itu sendiri. 

 

Menurut jurucakap Maybank, keputusan untuk menghentikan perkhidmatan penarafan itu merupakan sebahagian daripada usaha keseluruhan kumpulan dalam menyelaraskan penilaian oleh agensi-agensi penarafan. 

 

“Bank akan terus dinilai oleh agensi penarafan antarabangsa dan domestik, seperti Moody’s Investor Services, Standard & Poor’s (S&P) dan juga RAM Rating Services Bhd,” jelas Maybank dalam satu kenyataan.

 

Fitch menerusi kenyataannya semalam memberitahu bahawa firma itu merancang untuk menarik langkah penarafan ke atas Maybank dan penarafan antarabangsa ke atas PT Bank Maybank Indonesia Tbk (Maybank Indonesia) pada atau sekitar 23 September 2021. 

 

Penarikan penarafan itu akan berlaku kira-kira 30 hari daripada tarikh kenyataan tersebut, menurut Fitch.

 

“Fitch berhak atas budi bicara mutlaknya untuk menarik atau mengekalkan sebarang penilaian pada bila-bila masa dengan alasan yang dianggapnya mencukupi.

 

“Fitch percaya bahawa pelabur mendapat manfaat daripada peningkatan liputan penarafan oleh Fitch dan memberikan pemberitahuan sekitar 30 hari kepada pasaran mengenai penarikan penarafan ke atas Maybank dan Maybank Indonesia.

 

“Penilaian tertakluk kepada tinjauan analitik dan mungkin berubah sehingga Fitch menarik balik penilaian,” jelas firma itu. 

 

Penarafan terakhir yang dibuat oleh firma antarabangsa itu ke atas Maybank adalah pada 15 Disember 2020, sementara 10 Februari 2021 merupakan penarafan terakhir dibuat ke atas Maybank Indonesia. - DagangNews.com