Majlis Perumahan Mampu Milik Negara diminta teliti isu secara menyeluruh, termasuk rumah sewa | DagangNews Skip to main content

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara diminta teliti isu secara menyeluruh, termasuk rumah sewa

MPNN disaran mengambil kira penyewaan rumah sebagai alternatif. - Gambar hiasan
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 14 Feb – Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN)  harus melihat isu rumah mampu milik secara menyeluruh dan mengambil kira usaha mengawal selia pasaran rumah sewa bagi memastikan penyewa dan pemilik rumah terjaga dan terpelihara.

 

MPMMN yang dipengerusikan oleh perdana menteri  telah membincangkan strategi bagi menyelaras dan  memantau  penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara  selaras dengan matlamat SATU KELUARGA SATU RUMAH.

 

Namun pada masa yang sama, MPNN harus mengambil kira penyewaan rumah sebagai alternatif.

 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, isu rumah mampu milik sememangnya perlu dilihat secara menyeluruh, dan ia perlu merangkumi kos pembinaan, bahan-bahan binaan, teknik serta tingkat teknologi di dalam pembinaan rumah, lokasi dan pelbagai aspek.

 

"Apa yang penting adalah harga rumah perlu kekal stabil supaya rakyat mempunyai masa untuk mengumpul wang deposit serta memperolehi tahap gaji yang sesuai untuk memohon pembiayaan perumahan.

 

“Justeru, permasalahan ini memerlukan masa untuk diselesaikan dan dalam pada itu,  pilihan untuk menyewa rumah sememangnya adalah yang terbaik," katanya.

 

 

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
                                                  Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Ini amat penting bagi mengelakkan kadar sewa rumah dinaikkan dengan sewenang-wenangnya atau penyewa diarah keluar dari rumah tanpa ada notis yang sesuai dan pemilik rumah sewa boleh mendakwa penyewa sekiranya penyewa melanggar perjanjian sewa rumah.

 

Beliau turut mencadangkan bahawa melalui kawal selia kerajaan, ia boleh meningkatkan pendapatan kerajaan apabila setiap perjanjian sewa rumah perlu dimatikan setemnya di Lembaga Hasil Dalam Negeri serta menjadikan pendapatan sewa rumah oleh pemilik rumah itu diisytiharkan secara rasmi.

 

"Hal ini seolah-olah proses pemutihan di dalam pasaran rumah sewa," katanya lagi.

 

Sebagai contoh, isu bantuan banjir  yang melibatkan penyewa dan pemilik rumah, di mana terdapat permohonan bertindih diterima membabitkan penyewa dan tuan rumah yang menyatakan mereka sebagai mangsa banjir dan mengakibatkan kelewatan dalam mendapat bantuan tersebut.

 

Mengambil sistem penyewaan rumah di United Kingdom, tuan rumah perlu meletakkan deposit di bawah skim "tenancy deposit protection", yang merupakan skim dilindungi kerajaan bagi memastikan hak kedua-dua penyewa dan tuan rumah terpelihara.

 

 

PM

 

 

Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) pada 10 Februari lalu bersetuju meletakkan sasaran - Satu Keluarga, Satu Rumah - dalam misi penyediaan rumah mampu milik di negara ini.

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Bank Negara perlu melihat kembali model pembiayaan perumahan untuk memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 dan M40 selaras dengan matlamat itu.

 

Tahun lepas, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merekodkan sebanyak 30,290 unit rumah siap dibina tidak terjual bagi suku ketiga 2021 dengan nilai RM19.75 bilion, antara puncanya harga rumah tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah. – DagangNews.com