Majlis Tenaga Sabah luluskan projek jana kuasa kritikal berkapasiti 700 MW pulihkan sistem grid | DagangNews Skip to main content

Majlis Tenaga Sabah luluskan projek jana kuasa kritikal berkapasiti 700 MW pulihkan sistem grid

Gambar latar belakang infrastruktur elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd

KOTA KINABALU 23 Ogos - Majlis Tenaga Sabah (MTS) meluluskan beberapa projek kritikal untuk pembangunan penjanaan kuasa dengan kapasiti 700 megawatt (MW) ke arah memulihkan sistem grid negeri.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara projek utama ialah Projek Hidroelektrik dan Loji Jana Kuasa Gas Asli bagi memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mencukupi untuk negeri, kini dan akan datang.

 

Beliau berkata, mesyuarat MTS juga menerima maklum balas daripada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) berhubung kemajuan projek penjanaan kuasa penting lain yang telah disusuli sejak mesyuarat pertama MTS pada Jun.

 

“Ini termasuk keputusan mengenai pelaksanaan projek sumber tenaga masa depan yang berpotensi dan boleh digunakan untuk pembangunan hidroelektrik yang meluas di Sabah melalui kajian Pelan Induk Pembangunan Hidro Sabah yang sedang dijalankan oleh ECoS, serta kaedah pembangunan untuk Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MTS Kedua di Menara Kinabalu semalam.

 

Hajiji melahirkan harapan semua usaha ini akan membuahkan manfaat terbaik untuk merealisasikan pencapaian tenaga yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan untuk masa kini dan akan datang.

 

Beliau menambah ini selaras dengan Pelan Induk Tenaga – Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) untuk kemajuan Sabah dan memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.

 

MTS ditubuhkan berikutan pemindahan kuasa pengawalseliaan tenaga daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dan menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Bekalan Elektrik dan Tarif Sabah. - DagangNews.com