Majoriti kepentingan Multicare Health Pharmacy kini milik Sunway | DagangNews Skip to main content

Majoriti kepentingan Multicare Health Pharmacy kini milik Sunway

LANG LEONG CHENG (kiri) dan Chee Kin menandatangani SPA pengambilalihan majoriti kepentingan Multicare Health Pharmacy oleh Sunway menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Holdings.

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Sunway Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sunway Holdings Sdn. Bhd. bakal mengambil alih majoriti kepentingan pemain industri runcit farmaseutikal, Multicare Health Pharmacy Sdn. Bhd.

 

Ini selepas kedua-duanya telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) pada 21 Mei 2021, di mana masing-masing diwakili oleh Presiden Kumpulan Sunway, Tan Sri Chew Chee Kin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Multicare, Lang Leong Cheng.

 

Namun, butiran perjanjian itu tidak didedahkan dan pengambilalihan itu yang tertakluk kepada penyelesaian syarat-syarat tertentu akan dilaksanakan secara tiga bahagian, dijangka selesai pada tahun 2026.

 

Dalam satu kenyataan, Chee Kin berkata, dengan pengambilalihan tersebut, kumpulan dapat memanfaatkan gabungan kepakaran operasi dan farmasi Multicare serta platform digitalisasi teknologi maklumat Sunway yang komprehensif. 

 

“Kami yakin bahawa kumpulan farmasi itu akan menjadi salah satu rangkaian farmasi runcit paling pesat berkembang dan peneraju pasaran paling berjaya di Malaysia.

 

“Dengan situasi pandemik semasa, tumpuan terhadap kepentingan perkhidmatan kesihatan utama meningkat, seperti farmasi runcit untuk menyediakan keperluan kesihatan kepada komuniti. 

 

“Pengambilalihan ini membolehkan Sunway menyediakan perkhidmatan farmasi dan berkaitan yang lebih baik kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya. 

 

Sunway mula menembusi pasaran farmasi pada tahun 2016 dengan penubuhan Sunway Pharmacy yang kini mempunyai 12 cawangan di Lembah Klang dan satu di Johor. 

 

Menerusi cadangan pengambilalihan 76 cawangan farmasi Multicare di enam negeri di Semenanjung Malaysia setakat Mei 2021, kumpulan yang digabungkan itu akan menjadi salah satu peneraju pasaran utama di negara ini. - DagangNews.com