Majoriti mahu larangan arak, judi, kelab malam dan minuman manis untuk generasi akan datang - PPIM | DagangNews Skip to main content

Majoriti mahu larangan arak, judi, kelab malam dan minuman manis untuk generasi akan datang - PPIM

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 8 Jun – Majoriti rakyat Malaysia berpendapat Kerajaan juga harus mengenakan larangan ke atas tabiat-tabiat lain seperti larangan meminum arak dan minuman manis, perjudian, kelab malam, karaoke dan pub kepada generasi akan datang dan bukan hanya melarang rokok dan vape  seperti diumumkan Menteri  Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini.

 

Pendapat tersebut diperoleh melalui satu tinjauan pendapat yang dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian yang telah berjaya mengumpul 1,259 responden.

 

Tinjauan pendapat dalam talian tersebut dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan vape untuk generasi yang akan datang.

 

Hasil tinjauan mendapati:

  • 89% mahukan Kerajaan mengharamkan arak

  • 69% mahukan Kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis

  • 86% mahukan Kerajaan mengharamkan perjudian

  • 79% mahukan Kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub

 

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk melaksanakan larangan merokok dan penjualan rokok dan vape kepada individu yang lahir selepas 2005.

 

Walaupun  keputusan  tinjauan  ini  menunjukkan  ramai  yang  inginkan  Kerajaan  membuat larangan ke atas tabiat-tabiat negatif yang lain, Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata, PPIM tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan untuk membuat larangan penuh pada penggunaan dan penjualan sesuatu barangan kepada generasi akan datang walaupun cadangan tersebut adalah bertujuan positif.

 

Nadzim juga berpendapat tindakan larangan tersebut akan membawa kepada masalah lain antaranya  peningkatan  pasaran  gelap  dan  juga  aktiviti-aktiviti  jenayah  yang  lain. 

 

Selain daripada  kesukaran  dari  segi  penguatkuasaan,  ini  secara  tidak  langsung  bakal  memberi bebanan  kepada  agensi  penguatkuasaan  serta  menjadikan  pengguna  dewasa  menjadi penjenayah.

 

“Kita juga maklum produk-produk dan perkhidmatan lain juga memberi kesan yang negatif kepada pengguna.

 

"Sebagai contoh, arak boleh merosakkan anak bangsa,  minuman manis memberikan  kesan  kepada  kesihatan,  perjudian  boleh  menyebabkan  rakyat  terjerumus dengan hutang.”

 

PPIM

 

 

“Dan sekiranya Kerajaan nekad untuk memperkenalkan larangan untuk merokok dan vape atas  sebab  kemudaratan  kesihatan,  ramai  juga  telah  bersuara,  menyaran agar Kerajaan mengenakan larangan yang sama, supaya Kerajaan dapat membasmi semua tabiat yang negatif kepada generasi akan datang,” kata Nadzim dalam satu sidang media di sini hari ini.

 

Tinjauan ini telah dijalankan selama seminggu di www.ppimonlinepoll.com dan berjaya mengumpul 1,259 responden. – DagangNews.com