Majoriti rakyat Malaysia sokong Identiti Digital Nasional - SKMM | DagangNews Skip to main content

Majoriti rakyat Malaysia sokong Identiti Digital Nasional - SKMM


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Seramai 97% responden dalam kalangan rakyat Malaysia percaya bahawa Identiti Digital Nasional (NDID) akan memudahkan proses pengenalan dan pengesahan pada masa akan datang. 

Jelas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), responden juga bersetuju bahawa NDID mempunyai potensi untuk mengurangkan kos keseluruhan bagi proses pengesahan identiti. 

“Keputusan daripada rundingan awam akan dimasukkan ke dalam pembangunan rangka kerja NDID,” kata SKMM menerusi buletin September 2020. 

Rundingan awam itu dilaksanakan ke atas 35,000 responden.

NDID merupakan pengesahan identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.

Rundingan awam itu merupakan antara aktiviti libat urus bagi kajian SKMM ke atas NDID. 

Menerusi NDID, rakyat dijangka dapat mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati ID pengenalan dan kata laluan.

Tetapi, SKMM menekankan bahawa NDID tidak akan menggantikan MyKad sebagai bukti kewarganegaraan.

Sebaliknya, pembaharuan itu akan melengkapi sebagai bentuk pengenalan yang digunakan ketika transaksi secara digital. - DagangNews.com