Majuperak, STG bangunkan Tasik Cermin sebagai destinasi ekopelancongan lestari | DagangNews Skip to main content

Majuperak, STG bangunkan Tasik Cermin sebagai destinasi ekopelancongan lestari

Syed Agil (dua dari kiri) bersama tetamu menaiki bot menerokai Tasik Cermin 2.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 11 Jan - Majuperak Holdings Berhad (MHB) dan Sabah Tea Garden (STG) akan terus melakukan pelbagai inisiatif bagi membangunkan Tasik Cermin sebagai sebuah daripada destinasi ekopelancongan utama di Perak.

 

Usahasama ini telah membuktikan bahawa bandaraya Ipoh mampu untuk membangunkan tarikan pelancong yang lestari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, sinergi biodiversiti dan landskap batu kapur di kawasan itu menawarkan pengalaman unik selain suasana tasik yang tenteram. 

 

Katanya, pusat ekopelancongan Tasik Cermin yang dibangunkan bersama rakan usahasama STG akan sentiasa memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.

 

Tasik
Khairul Firdaus (tengah), Sze Yee (tiga dari kiri) dan Redza Rafiq (dua dari kiri) semasa merasmikan pembukaan Tasik Cermin 2.

 

Menurut beliau, sejak pembukaannya secara purata seramai 45,000 pengunjung direkodkan datang ke Tasik Cermin setiap bulan.

 

“Pada bulan Disember lalu Tasik Cermin telah mencatatkan rekod baru jumlah pengunjung yang mencecah 75,000 orang.

 

“Ini menguatkan lagi komitmen MHB dan STG untuk sentiasa menambahbaik kemudahan kepada pengunjung pelbagai lapisan umur,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian pembukaan Tasik Cermin 2 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

 

Tasik

 

Tasik
Terowong sepanjang 130 meter antara keunikan di Tasik Cermin.

 

Turut hadir Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak merangkap Pengerusi Kumpulan MHB, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

 

Tasik Cermin 2 menawarkan pengalaman menerokai sebuah tasik tersembunyi yang hanya boleh diakses dengan menaiki bot melalui terowong sejauh 130 meter. 

 

Bot kuasa bateri sepenuhnya ini berkonsepkan rendah karbon untuk memelihara persekitaran yang selari dengan matlamat kerajaan Perak dalam meneguhkan agenda kelestarian alam.

 

Kata Syed Agil, perasmian Tasik Cermin 2 juga dibuat bersempena sambutan Tahun Melawat Perak 2024.

 

"Dengan tarikan yang tersedia dan beberapa perancangan pembangunan, aktiviti dan acara yang bakal diwujudkan, saya yakin ia dapat melonjakkan industri pelancongan Perak,” ujarnya.- DagangNews.com