Makin kurang kerja kosong di sektor swasta | DagangNews Skip to main content

Makin kurang kerja kosong di sektor swasta

 

 

 

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Peluang pekerjaan yang ditawarkan sektor swasta didapati semakin berkurangan, berdasarkan Statistik Guna Tenaga Buruh Suku Keempat yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini.

 

Laporan itu menunjukkan jumlah jawatan dalam sektor berkenaan pada suku berkenaan menurun sebanyak 15,000 kepada 8.457 juta jawatan berbanding tempoh sama 2019, berjumlah 8.661 juta.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 8.281 juta jawatan diisi dengan kadar 97.9%. Kadar kekosongan jawatan pula adalah 2.1% merangkumi 176,000 kekosongan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi kategori mahir, jawatan yang ditawarkan juga semakin menurun sebanyak 36,000 kepada 2.065 juta jawatan berbanding 2.101 juta bagi tempoh sama 2019.

 

"Sebahagian besar jawatan adalah dalam kategori separuh mahir iaitu 62.4% atau 5.279 juta jawatan ditawarkan. 

 

"Jumlah jawatan menurun sebanyak 129,000 daripada 5.408 juta pada suku keempat 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kategori berkemahiran rendah turut mencatat penurunan sebanyak 40,000 dengan merekodkan 1.113 juta jawatan pada suku ini berbanding 1.153 juta jawatan untuk tempoh sama 2019. 

 

Dari segi aktiviti ekonomi, lebih daripada separuh jawatan dan jawatan diisi adalah dalam sektor perkhidmatan dengan sumbangan masing-masing sebanyak 51.6% (4.368 juta) dan 52.4% (4.341 juta). 

 

"Jawatan diisi bagi sektor pembuatan adalah sebanyak 2.159 juta mewakili 26.1% jumlah jawatan diisi. 

 

"Kedua-dua sektor ini merangkumi 78.3% jawatan (6.625 juta) menyumbang 98.1% daripada jumlah," katanya.

 

Bagi kekosongan jawatan pula, penyumbang terbesar tertumpu pada sektor pembuatan dengan 55.6% diikuti pertanian (16.8%) dan perkhidmatan (15.4%). 

 

Sektor pembinaan dan perlombongan serta Pengkuarian masing-masing mencatatkan 12% dan 0.3% kekosongan jawatan.

 

Pada masa sama, sebahagian besar jawatan kosong adalah dalam sektor pembuatan sebanyak 40.5%. 

 

"Sektor perkhidmatan berada di kedudukan kedua dengan perbezaan 2.2% pada 38.4%, diikuti dengan pembinaan (16.3%), pertanian (4.4%) dan perlombongan dan pengkuarian (0.5%)," katanya. - DagangNews.com