KUALA LUMPUR 30 Mac - Malacca Securities menjangkakan lebih 50% tanaman kelapa sawit Kim Loong Resources Berhad akan menjana pendapatan yang stabil pada masa akan datang.
Sehingga 4QFY22, kawasan penanaman kumpulan itu berada pada tahap 15,939 hektar berbanding 15,929 hektar pada 3QFY22 dan mereka mengekalkan profil pokok yang sihat.
Dalam suku yang sama, pengeluaran buah tandan segar (FFB) bertambah sebanyak 19.8% dari tahun ke tahun sebanyak 67,526 tan manakala minyak sawit mentah (MSM) meningkat sebanyak 39.9% kepada 78,704 tan.
"Pada masa sama, kadar perahan MSM kekal pada paras 21.1% dan terus mengatasi prestasi perahan MSM Malaysia pada kadar 19.8% sekali gus memberi gambaran bahawa kadar pengeluaran kumpulan itu lebih cekap.
"Kami menjangkakan pertambahan 30,000 FFB setahun untuk FY23F daripada pengambilalihan 1,100 hektar ladang kelapa sawit di Sabah pada FY22.
"Bagi FY23, kami mengandaikan pengeluaran FFB sebanyak 300,000 tan berbanding 265,037 tan pada FY22 selepas isu tenaga kerja akan berkurangan pada 2H22 dan ia sejajar dengan ramalan pengeluaran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sebanyak 18.9 juta tan pada 2022 (+4.4% YoY)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan berish yang diperoleh pada FY22 meningkat sebanyak 44.6% kepada RM137.2 juta.
Katanya, perolehan yang dilaporkan itu masih berada dalam jangkaan dan ia menyumbang 103.5% daripada ramalan keuntungan bersih tahun penuh sebanyak RM132.5 juta dan 82.1% daripada ramalan konsensus sebanyak RM167 juta.
"Kami menjangkakan harga MSM akan berada pada paras RM4,500 untuk satu tan sepanjang 1H22, disokong oleh permintaan yang stabil dan kekangan penghasilan akibat kekurangan tenaga kerja di Malaysia selain peningkatan harga levi eksport di Indonesia," katanya. - DagangNews.com