Malakoff beli tanah RM150 juta di Melaka untuk projek tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Malakoff beli tanah RM150 juta di Melaka untuk projek tenaga boleh diperbaharui

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Syarikat pengeluar air dan tenaga, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menerusi anak syarikatnya, Malakoff R&D Sdn. Bhd. (MRAD) bakal mengambil alih sebidang tanah pegangan bebas di Alor Gajah, Melaka daripada Eksklusif Pesona Sdn. Bhd (EPSB).

Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) pada hari ini yang menyaksikan nilai tanah berukuran 176.5 ekar itu dijual pada harga RM150 juta. 

Malakoff menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, pengambilalihan tanah itu berpotensi sebagai pembinaan loji janakuasa tenaga boleh diperbaharui oleh kumpulan syarikat termasuk tenaga solar, tenaga sisa, biomas dan loji biogas. 

“Sebanyak RM15 juta, mewakili 10% daripada harga jualan itu dibayar sebagai deposit selepas pelaksanaan SPA. RM4.5 juta pula akan dibayar kepada peguam syarikat sebagai pihak berkepentingan bagi penyerahan seterusnya kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri menurut Klausa 11.2 SPA.

“RM10.5 juta akan dibayar kepada vendor dan selebihnya akan dibayar dalam tempoh satu bulan dari tarikh tanpa syarat,” kata Malakoff. 

Tanah itu berstatus pertanian, umumnya dikategorikan sebagai rata kecuali beberapa kawasan yang mempunyai ketinggian yang beralun lembut.

Ketika ini, tanah itu diusahakan dan ditanam dengan pokok kelapa sawit yang matang berumur antara 13 hingga 39 tahun.

Pada tiga tahun lalu, tanah tersebut telah menghasilkan lebih dari 710 tan metrik tan tandan buah kelapa sawit. - DagangNews.com