Malakoff berdepan prospek lemah separuh kedua diheret turun perbelanjaan cukai, kos lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Malakoff berdepan prospek lemah separuh kedua diheret turun perbelanjaan cukai, kos lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan Malakoff Corp. Bhd. akan berdepan prestasi kewangan separuh kedua yang lemah disebabkan perbelanjaan Cukai Makmur yang lebih tinggi.

 

Selain itu, kos operasi & penyelenggaraan (O&M) yang lebih tinggi daripada gangguan berjadual Tanjung Bin Energy (TBE) pada suku keempat juga mempengaruhi keuntungan bersih terasnya pada separuh kedua ini.

 

"Kami dapati untung bersih teras Malakoff pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 adalah berada dalam jangkaan kami merangkumi 54% firma dan konsensus Bloomberg daripada anggaran tahun penuh. 

 

"Untung bersih teras bagi tempoh itu susut 4% tahun ke tahun sebahagian besarnya disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi, mengimbangi sumbangan lebih kukuh daripada Tanjung Bin Power (TBP), Alam Flora dan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu/usaha sama serta kos kewangan yang lebih rendah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Keuntungan bersih Malakoff meningkat 1.21% kepada RM119.15 juta pada suku kedua berakhir 30
Jun 2022 daripada RM117.73 juta tahun lalu disumbangkan terutamanya daripada BP susulan peningkatan harga arang batu sebenar (ACP) dan kos kewangan bersih lebih rendah.

 

Pendapatan bagi tempoh itu melonjak 46.3% kepada RM2.32 bilion daripada RM1.58 bilion sebelum ini berikutan pembayaran tenaga lebih tinggi yang dicatatkan oleh TBP dan TBE, didorong oleh peningkatan ACP.

 

Bagi tempoh terkumpul selama enam bulan berakhir 30 Jun 2022, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM170.03 juta berbanding RM178.18 juta pada tahun lalu dengan pendapatan berjumlah RM4.2 bilion berbanding RM2.94 bilion pada 2021.

 

Malakoff mengumumkan dividen interim 2.8 sen pada separuh pertama 2022, mewakili pembayaran dividen sebanyak 80% (berdasarkan keuntungan bersih separuh pertama) dan sebahagian besarnya adalah dalam anggaran 85% pembayaran dividen seperti yang diunjurkan CGS-CIMB.

 

Menurut firma itu, kumpulan telah membayar purata lebih 90% daripada pendapatannya sebagai dividen sejak 2013, dengan pembayaran dividen kira-kira 100% untuk 2017 hingga 2019 dan 98% untuk 2021.

 

"Oleh itu, kami mengekalkan ramalan dividen semasa kami kerana kumpulan itu mungkin akan menjimatkan wang tunai pada masa hadapan untuk meneroka peluang perniagaan baharu. 

 

"Ia komited untuk mengekalkan dasar dividennya untuk membayar sekurang-kurangnya 70% daripada keuntungan bersihnya kepada para pemegang saham," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengulangi saranan 'tambah' terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran tidak berubah pada 98 sen.

 

Setakat 11.24 pagi, harga sahamnya menokok 2.5 sen atau 3.82% kepada 68 sen dengan 1.1 juta saham diniagakan. - DagangNews.com