Malakoff meterai perjanjian pasang sistem solar berkapasiti 1.42MWp di stesen kereta api KTMB | DagangNews Skip to main content

Malakoff meterai perjanjian pasang sistem solar berkapasiti 1.42MWp di stesen kereta api KTMB

(Dari kiri) Datuk Azhar Ahmad, Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff, Tan Sri Che Khalib Mohd Noh; Timbalan Menteri Pengangkutan; Datuk Hasbi Habibollah; Anwar Syahrin Abdul Ajib; Timbalan Setiausaha, Jeneral Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin bertukar perjanjian solar tersebut di Hotel Palm Garden, Putrajaya hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis - Malakoff Corporation Berhad, melalui anak syarikatnya, Malakoff Radiance Sdn Bhd telah memeterai perjanjian dengan Railway Assets Corporation (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk projek solar di stesen kereta api.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, Malakoff Radiance akan terlibat dalam pembangunan, operasi dan penyelenggaraan bangsal kereta dan sistem solar atas bumbung di stesen kereta api, depoh dan terminal letak kereta di Perak, Pulau Pinang, Selangor, Johor and Negeri Sembilan.

 

Dengan unjuran penjimatan elektrik sebanyak RM 9.7 juta untuk RAC dan KTMB, Malakoff berkata projek berkapasiti 1.42 MWp (megawatt puncak) ini dijangka mempunyai peranan penting dalam menyumbang dengan ketara kepada pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 19,376 tan setahun, bersamaan dengan pemuliharaan 484,400 pokok matang.

 

Kerjasama ini juga sejajar dengan projek utama untuk mobiliti hijau di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang memberi tumpuan khusus kepada penggunaan sistem fotovoltaik solar dalam operasi rel, tambahnya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berasa optimis dengan kerjasama ini, yang seterusnya menandakan komitmen kumpulan mempelbagaikan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pada masa yang sama menyepadukan pelbagai sumber tenaga hijau ke dalam campuran penjanaan tenaganya.

 

“Kami tekad untuk berada di barisan hadapan peralihan tenaga negara kerana kami juga telah menetapkan sasaran bercita-cita tinggi untuk mencapai kapasiti RE 1,400 MW menjelang 2031 melalui usaha kolektif.

 

“Selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030, salah satu objektif utamanya adalah untuk menangani kesan alam sekitar akibat pertumbuhan sektor pengangkutan.

 

“Ini termasuk menggalakkan sokongan untuk inisiatif hijau merentasi semua sektor pengangkutan dan memudahkan rancangan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad berkata menjelang suku ketiga 2024, organisasi terbabit merancang untuk melaksanakan fasa kedua inisiatif RE ini di 17 lokasi, termasuk 16 stesen kereta api dan satu bangunan tempat letak kereta di Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis.

 

“Kami akan terus memberi tumpuan untuk melaksanakan fasa ketiga inisiatif ini yang akan merangkumi 25 lagi lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Kajian kebolehlaksanaan di bawah inisiatif ini bagi stesen kereta api, depoh dan kemudahan letak kereta telah pun dijalankan,” tambahnya. - DagangNews.com