The Malayan Songbook tampilkan sentuhan baharu koleksi skor muzik Malaya pra-kemerdekaan | DagangNews Skip to main content

The Malayan Songbook tampilkan sentuhan baharu koleksi skor muzik Malaya pra-kemerdekaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - OUCH Music Academy menerbitkan buku The Malayan Songbook yang menampilkan koleksi skor muzik Malaya pra-kemerdekaan yang mendapat sentuhan baharu daripada komposer, penerbit muzik dan pemain piano Ganesh Bala.

 

Penerbit buku berkenaan, Ushera Yusof berkata, terdapat pilihan 20 skor muzik Melayu kontemporari oleh komposer Ahmad Jaafar, Ahmad Wan Yet, Yusof B, P.Ramlee dan beberapa lagu tradisi Melayu telah dimuatkan bersama di dalam buku berkenaan. 

 

Beliau berkata, kajian terperinci mengenai biografi dan penulisan tentang tulang belakang di sebalik lagu-lagu itu turut disediakan dalam usaha untuk mengimbau zaman kegemilangan muzik dan hiburan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

 

"The Malayan Songbook mengambil masa lima tahun penyelidikan, pemulihan audio, transkripsi dan susunan muzik sebelum dapat disiapkan sepenuhnya. 

 

"Penerbitan buku itu terbantut seketika akibat pandemik COVID-19 dapat diharungi dengan sokongan inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Geran Pemulihan Industri Kreatif di bawah bidang Sastera dan Penerbitan seliaan MyCreative Ventures," katanya selepas majlis pelancaran buku berkenaan, hari ini.

 

Pelancaran itu disempurnakan oleh Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz yang merupakan seorang pemain piano terkemuka Malaysia.

 

muzik

 

"Dengan buku muzik ini, Ganesh Bala telah memberikan sumbangan dalam perjalanan muzik dan seni Malaysia selain dapat dimanfaatkan oleh pemuzik yang mahu mempersembahkan lagu-lagu klasik ini," katanya.

 

Pada majlis itu juga, Ganesh Bala mengetuai kumpulan muzik dengan petikan pianonya menyampaikan lagu-lagu dari The Malayan Songbook dengan iringan suara penerbit buku itu yang juga penyanyi suara klasik terkenal, Ushera.

 

muzik

 

Gabungan muzik unik itu dipersembahkan dengan adunan melodi Melayu dengan irama latin dan harmoni jazz.

 

Buku The Malayan Songbook, boleh didapati di kedai buku terpilih seperti Kinokuniya, Borders dan Times Bookstore. - DagangNews.com