Malaysia Airlines berada dalam kedudukan positif | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines berada dalam kedudukan positif

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Malaysia Airlines Berhad berada dalam kedudukan baik susulan kejayaan penstrukturan semula yang menyaksikan aliran tunainya berada dalam kedudukan positif pada Oktober tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan nasional itu akan melakukan yang terbaik untuk terus kekal mampan dan untung.

 

"Malaysia Airlines kini mantap dan tangkas serta bersedia untuk masa depan. Strategi kami adalah mengekalkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium yang bertumpu di Asia Pasifik. Kami mahu mengukuhkan kedudukan dalam pasaran domestik dan ASEAN," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MAG dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di Malaysia Airlines Academy, Petaling Jaya hari ini.

 

Mengenai kehadiran syarikat penerbangan baharu, Izham berkata, industri penerbangan tempatan mungkin berdepan lebihan kapasiti dengan kehadiran lebih banyak syarikat penerbangan memandangkan jumlah penduduk di negara ini hanya 32 juta orang.

 

"Kehadiran lebih banyak syarikat penerbangan boleh menjejaskan kemampanan syarikat penerbangan sedia ada, yang terkesan teruk oleh penularan pandemik COVID-19," katanya. - DagangNews.com