KUALA LUMPUR 3 Jan - Halal Development Corporation Berhad (HDC) berbangga mengumumkan Malaysia yang menunjukkan daya tahan dan kecemerlangan mampan, sekali lagi memperoleh kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) untuk tahun ke-10 berturut-turut.
Kedudukan Petunjuk GIEI 2023 meletakkan Malaysia di barisan hadapan, diikuti rapat Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sejak penubuhan Laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) edisi 2023/2024, Malaysia secara konsisten menduduki tempat teratas, mempamerkan komitmen berterusan negara terhadap ekonomi Islam.
Malaysia mendapat tempat pertama dalam sektor kewangan Islam, makanan halal, media dan rekreasi halal, disokong dengan kedudukan tempat kedua dalam fesyen sopan (modest), tempat ketiga dalam farmaseutikal dan kelima dalam pelancongan.
Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, pencapaian itu menunjukkan kemajuan yang mampan dalam Ekosistem Halal Malaysia sejak penubuhan HDC pada 2006.
Katanya, Malaysia berikrar untuk mempertahankan kedudukan unggul ini dengan pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP2030), adaptasi teknologi dan Pendigitalan Ekosistem Halal.
"HIMP2030 memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan komprehensif industri halal Malaysia, memupuk keterangkuman dan pertumbuhan yang teguh," katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah Khairul Azwan, dengan Malaysia menerajui sektor kewangan Islam secara konsisten, pihaknya percaya negara boleh menawarkan pembiayaan dan peluang pelaburan terbaik kepada komuniti perniagaan global.
Katanya, kestabilan, inovasi dan amalan etika yang wujud dalam sektor kewangan Islam Malaysia meletakkan negara sebagai rakan kongsi yang dipercayai untuk perniagaan yang mencari rumusan kewangan sejajar dengan prinsip Islam.
Terdahulu, Laporan SGIE disediakan Dinar Standards, sebuah firma penyelidikan dan penasihat yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang mengkhusus dalam inovasi kerajaan, ekonomi halal global dan ruang impak sosial.
Laporan tahunan itu, disokong Jabatan Ekonomi dan Pelancongan Dubai (DET), menekankan pembangunan dan promosi pensijilan dan piawaian halal Malaysia.
Kedudukan global itu adalah berdasarkan penyelidikan yang meluas, meliputi isu kontemporari dan kritikal seperti pembangunan kewangan, tadbir urus, kesedaran, sosial dan inovasi dalam ekosistem.
Sejak laporan itu dimulakan pada 2013, ekonomi utama dan negara majoriti Islam secara konsisten merujuk kepada laporan tahunan berkenaan. - DagangNews.com