KUALA LUMPUR 19 Jan - Malaysia Aviation Group (MAG) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) berhubung kerjasama selama setahun untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pada tahun ini.
Kedua-dua pihak turut melancarkan kempen kembara 'Sia Sitok Sarawak Plus' bagi memberi peluang kepada pelancong melawat negeri itu melalui pintu masuk pelancongan utamanya, iaitu Kuching, Sibu dan Miri, dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.
Sebagai sebahagian daripada MoU, STB dan MAG akan bekerjasama untuk memasarkan dan mempromosikan acara antara STB, Malaysia Airlines Berhad, Firefly, MASwings dan MHholidays.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan MAG secara eksklusif untuk mempromosikan dan menghubungkan Sarawak dengan pelawat tempatan dari semenanjung dan Sabah.
"Sarawak ialah destinasi ideal untuk mereka yang mencari perjalanan yang selamat dan mengasyikkan dengan landskap geografinya yang luas, kepadatan penduduk yang selesa dan tawaran yang kaya dengan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan.
"Kami melihat ini sebagai peluang dan masa sesuai untuk memperhebatkan promosi bagi mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia menerokai Sarawak dan mencipta kenangan yang tidak ternilai," katanya dalam sidang akhbar pelancaran kempen tersebut di Akademi Malaysia Airlines, Petaling Jaya hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Datu Salleh Askor.
Abdul Karim berkata, beliau berharap melihat lebih banyak laluan terus dari semenanjung dan ke lebih banyak bahagian di Sarawak.
“Sarawak telah meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan domestik ke Sarawak daripada 307 penerbangan kepada 562 penerbangan seminggu berkuat kuasa 14 Jan lepas," katanya.
Dalam perkembangan sama, Izham pula berkata, pihaknya menawarkan sekitar 70 penerbangan seminggu ke lokasi seperti Kuching, Sibu dan Miri dengan kadar kepenuhan lebih 90 peratus.
“Bagaimanapun adalah pada kapasiti yang dihadkan (bagi pematuhan prosedur operasi standard COVID-19). Pada kapasiti biasa kadar kepenuhan akan menurun secara signifikan, namun pada masa sama, kadar tambang juga akan berkurangan,” katanya.
Menerusi kempen itu, pelanggan boleh menikmati pakej hotel dan penerbangan yang menarik melalui MHholidays dan memilih daripada senarai hotel yang mengambil bahagian, termasuk New World Suites di Bintulu, The Waterfront Hotel di Kuching, Grand Palace Hotel di Miri, RH Hotel di Sibu.
Pakej MHholidays disertakan dengan elaun bagasi sebanyak 40 kilogram, makanan dalam kapal percuma dan pemilihan tempat duduk percuma serta memperoleh mata Enrich dan promosi ini boleh ditempah di www.holidays.malaysiaairlines.com.
Selain itu, pelanggan boleh menempah pakej pelancongan eksklusif di Journify dari serendah RM95.
Tempoh tempahan untuk kempen Sia Sitok Sarawak Plus bermula hari ini hingga 28 Februari 2022, dengan tempoh perjalanan dari 19 Januari hingga 30 April 2022. - DagangNews.com