KUALA LUMPUR 17 Feb. - Malaysia dijangka menandatangani kontrak perolehan vaksin COVID-19 dari syarikat Johnson & Johnson (J&J) di Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, maklumat klinikal vaksin itu sangat positif serta rundingan antara kerajaan dan J&J sedang berjalan.
Ujar Khairy, Jemaah Menteri telah membuat keputusan berdasarkan syor daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin untuk membeli vaksin berdasarkan satu dan dua dos.
"Dalam masa terdekat, saya difahamkan, Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan) akan menandatangani kontrak untuk memperolehi vaksin daripada syarikat J&J.
"Selepas itu, barulah kita boleh hantar (vaksin tersebut) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penilaian," katanya dalam sidang akhbar mengenai Penyelarasan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) secara langsung di Facebook miliknya hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech pada 21 Februari ini.
Baca : Malaysia terima vaksin COVID-19 mulai 21 Februari ini
Ini akan diikuti dengan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula pada 26 Februari 2021, katanya pada pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Malah, Muhyiddin sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.
Baca : Vaksin 'talian hayat' ekonomi
Menurut buku berkenaan, didapati sehingga Februari 2021, Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada 5 pengeluar. - DagangNews.com