Malaysia berdepan cabaran pemulihan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Malaysia berdepan cabaran pemulihan ekonomi

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran untuk mengekalkan momentum pemulihan dalam persekitaran penularan COVID-19 yang masih berterusan.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Malaysia ketika ini masih bergelut untuk membendung penularan wabak itu susulan kemunculan varian baharu yang lebih mudah merebak dan memburukkan lagi krisis kesihatan sedia ada.

 

Meskipun petunjuk ekonomi utama bagi tempoh 5 bulan pertama 2021 menunjukkan prestasi memberangsangkan, Indeks Pelopor (IP) yang merupakan petunjuk hala tuju ekonomi dalam beberapa bulan ke hadapan, mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan sebanyak 6.9% pada Mei 2021 berbanding 15.7% pada April 2021.

 

"Bagi mengatasi keadaan itu, kerajaan mengambil tindakan bersepadu bagi mempercepat  program vaksinasi selain memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia Siri 7/2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Seiring dengan asas yang rendah pada Mei 2020, perdagangan Malaysia melonjak sebanyak 48.7% bagi tahun ke tahun dan meneruskan pertumbuhan 2 digit selama 4 bulan berturut-turut.

 

Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Mei 2021 juga meneruskan momentum pertumbuhan dua digit dan mencatat kenaikan 26.0 peratus pada bulan sama.

 

Mohd. Uzir berkata, dari sudut harga, kadar inflasi Malaysia pada Mei 2021 melepasi 4% untuk kali kedua berturut-turut tahun ini berikutan kenaikan berterusan Indeks Harga Makanan global yang melonjakkan harga makanan di negara ini.

 

Bagi prestasi pasaran tenaga buruh, jumlah tenaga kerja telah meningkat sebanyak 384,900 orang pada Mei 2021 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16.10 juta orang berbanding 15.71 juta orang pada Mei, 2020.

 

“Kadar penyertaan tenaga kerja meningkat sebanyak 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 68.5% manakala kadar pengangguran susut kepada 4.5% daripada 5.3% pada Mei 2020,” katanya. - DagangNews.com