Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi membangunkan program pembiayaan Go Halal SME antara Bank Islam dan HDC secara maya hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Jun - Malaysia mempunyai potensi menjadi hab kepada pengeluaran vaksin dan peranti perubatan halal di rantau ini memandangkan negara memiliki ekosistem yang lengkap bagi menyokong industri berkenaan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi mencapai matlamat itu, Malaysia memerlukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk pengeluaran vaksin serta peranti perubatan halal.
Katanya, industri halal merupakan salah satu sumber baharu pertumbuhan negara yang mana pasaran halal global amat besar dianggar mencecah AS$3 trilion menjelang 2030.
"Sehubungan itu, Halal Development Corporation (HDC) perlu mengambil langkah stategik dan menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan penglibatan syarikat multinasional dalam industi halal demi upscaling serta menarik FDI dan rantaian bekalan halal.
"Saya juga yakin industri halal mempunyai peranan dalam menjayakan strategi kerajaan untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi membangunkan program pembiayaan Go Halal SME antara Bank Islam dan HDC secara maya hari ini.
Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari.
Dana Go Halal SME dengan permulaan saiz portfolio berjumlah RM100 juta ditawarkan dengan kerjasama antara HDC dan Bank Islam.
Baca : Bank Islam-HDC perkenal dana Go Halal SME berjumlah RM100 juta
Mohamed Azmin berkata, sebagai pengeksport terbesar produk halal dalam kalangan negara-negara Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC), Malaysia juga menjadi Pusat Pengetahuan Halal Global dan peneraju global dalam pengeluaran, perdagangan dan inovasi halal.
Tahun lalu, katanya, jumlah eksport halal negara mencecah RM31 bilion melangkaui sasaran RM19 bilion yang ditetapkan di dalam Pelan Induk Industri Halal yang pertama.
"Berdasarkan potensinya, kerajaan mahu menjadikan industri halal sebagai industri strategik untuk menjayakan objektif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dengan merancakkan pertumbuhan PKS dalam kalangan bumiputera," katanya.
Menurut beliau, sebanyak 200,000 syarikat PKS terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan halal.
Sehingga Disember 2020, sebanyak 6,727 syarikat PKS telah mempunyai sijil halal. Daripada jumlah
itu, hanya 1,507 syarikat PKS terlibat dalam aktiviti mengeksport.
"Ini menunjukkan potensi pertumbuhan untuk industri halal negara kita masih amat luas," tambahnya. - DagangNews.com