Malaysia catat lebihan dagangan Oktober tertinggi, RM22 bilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat lebihan dagangan Oktober tertinggi, RM22 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Lebihan perdagangan Malaysia pada Oktober 2020 meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 25.9% berbanding tempoh sama tahun ini. 

 

Nilai itu juga merupakan lebihan perdagangan tertinggi pernah dicatatkan untuk bulan Oktober.

 

Eksport negara pula mencecah RM91.05 bilion bagi bulan sama, menokok 0.2% berbanding Oktober 2019, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

 

Ini merupakan nilai eksport ketiga terbesar yang dicatatkan setakat ini. 

 

“Pengembangan nilai itu disokong oleh eksport lebih tinggi ke Amerika Syarikat (AS), China, India dan United Kingdom (UK).

 

Eksport

 

“Import mencatatkan jumlah RM68.93 bilion, menurun sebanyak 6%, manakala jumlah dagangan bernilai RM159.98 bilion, menguncup sebanyak 2.5%. 

 

“Berbanding September 2020, jumlah dagangan, eskport dan import masing-masing berkembang sehingga 2.6%, 2.4% dan 2.9%. Lebihan dagangan pula melonjak 0.8%,” kata MITI dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Barangan pembuatan dan pertanian telah mendorong pertumbuhan eksport pada bulan tersebut dengan peratusan sumbangan masing-masing 87.8% (RM79.94 bilion) dan 7.9% (RM7.17 bilion). 

 

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2020 (10M20), lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 16.3% kepada RM147.04 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Jumlah dagangan pula bernilai RM1.454 trilion, menguncup 4.9% dengan eksport menurun 3.3% kepada RM800.59 dan import pula merudum 6.8% kepada RM653.55 bilion.

 

Eksport

 

Walaupun Malaysia mencatatkan prestasi dagangan lebih baik pada Oktober 2020, namun menurut MITI, dagangan dalam pasaran ASEAN merosot sebanyak 10.4% kepada RM41.15 bilion atau 25.7% daripada jumlah dagangan negara.

 

“Eksport menurun sebanyak 3.6% kepada RM25.73 bilion disebabkan oleh eksport petroleum mentah, produk petroleum dan pembuatan logam yang lebih rendah. 

 

“Penguncupan itu bagaimanapun diimbangi oleh produk elektrik dan elektronik yang lebih tinggi, meningkat sebanyak 18.5% atau RM1.77 bilion. Import daripada ASEAN pula menguncup 19.9% kepada RM15.42 bilion,” tambah MITI. 

 

Negara ASEAN yang menunjukkan pengembangan dagangan adalah Singapura, Filipina, Brunei, Myanmar dan Laos. 

 

Namun, momentum eksport Malaysia ke China berterusan apabila meningkat sebanyak 5.4% berbanding Oktober 2019 kepada RM28.97 bilion, merangkumi 18.1% daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia. - DagangNews.com