Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - Pendapatan e-dagang Malaysia melonjak 17.1% tahun ke tahun kepada RM279 bilion pada suku ketiga 2021 daripada RM238.2 bilion sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata dari segi pertumbuhan suku ke suku, ia mengekalkan trend positif sebanyak 4.3%.
Ujarnya, dari Januari hingga September, pendapatan e-dagang merekodkan RM801.2 bilion, meningkat 23.1% tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, di peringkat negeri, e-dagang dipacu oleh negeri perindustrian iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Pulau Pinang.
Beliau berkata bagi sektor industri, pembuatan dan perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Sememangnya, peningkatan prestasi itu disumbangkan oleh penggunaan norma baharu semasa pandemik Covid-19, di mana ia meningkatkan penggunaan digital di Malaysia,” katanya.
Laporan itu juga membentangkan statistik mengenai sumbangan e-dagang dan ICT kepada ekonomi, akses dan penggunaannya serta prestasi sektor perkhidmatan ICT.
Mohd Uzir berkata sejak penularan wabak COVID-19 di Malaysia bermula pada akhir Januari 2020, kerajaan telah menggubal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memperlahankan penularan virus itu.
"Semasa PKP pada 2020, hanya 38.1% perniagaan beroperasi, berbanding 92.4% dalam PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).
"Dari segi pendapatan keseluruhan, 79.6% perniagaan melaporkan penurunan semasa PKP, manakala 46.9% dalam PKPP.
"Untuk pendapatan e-dagang, 19.1% perniagaan mengalami peningkatan semasa PKP, dan 26.1% dalam PKPP," katanya. -DagangNews.Com