Malaysia diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE | DagangNews Skip to main content

Malaysia diletakkan dalam Senarai Pemerhatian Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Malaysia masih tergolong dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell, tetapi bakal diletakkan di bawah Senarai Pemerhatian atau 'Watch List', setakat tinjauan September 2020. 

Pengekalan itu mungkin untuk klasifikasi semula dari Tahap Kebolehcapaian Pasaran 2 kepada 1.

FTSE Russell berkata, pihaknya maklum akan inisiatif tambahan yang dilaksanakan Bank Negara Malaysia (BNM) sepanjang tempoh 12 bulan lalu untuk meningkatkan kebolehcapaian pasaran bon kerajaan Malaysia kepada pelabur asing. 

Sehubungan itu, FTSE Russell mencadangkan dua langkah penambahbaikan pasaran bon Malaysia.

Ini termasuk meningkatkan kecairan (liquidity) pasaran bon sekunder menerusi kemajuan lanjut dalam penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang, Kalendar Pembidaan yang ditingkatkan dan menawarkan lebih banyak pembukaan semula isu sebelum ini. 

Selain itu, sebilangan besar Sekuriti Kerajaan Malaysia tersedia melalui repo, penggabungan penerbitan bon untuk meningkatkan jumlah tertunggak bagi setiap penerbitan dan pengurangan jumlah penerbitan serta memperkenalkan niaga hadapan MGS dengan penghantaran fizikal. 

Kedua, menambahbaik struktur pasaran saham asing dengan menjadikan program Pejabat Luar Negara yang Dilantik (AOO) secara tetap, membenarkan bank kusotdian tempatan Jepun untuk melakukan pertukaran asing (FX) pihak ketiga dan lindung nilai dinamik serta memperkemas dokumentasi FX dan proses lain yang wajar.

“FTSE Russell akan terus berunding dengan jawatan kuasa penasihat serta pihak berkepentingan lain bagi enam bulan akan datang untuk menentukan penambahbaikan praktikal yang timbul daripada inisiatif itu.

“Ini dapat menambah baik pengalaman pelabur asing ke dalam pasaran pendapatan tetap Malaysia,” kata FTSE Russell menerusi Keputusan Negara Pendapatan Tetap September 2020, semalam. 

Kebolehcapaian Tahap 2 diperlukan bagi pasaran yang dipertimbangkan layak untuk dimasukkan ke dalam WGBI FTSE.

Kebolehcapaian Tahap 1 pula diperlukan bagi pasaran yang dipertimbangkan untuk masuk dalam Pasaran Indeks Bon Kerajaan Sedang Berkembang (EMGBI).

Kedua-dua tahap itu menentukan sama ada pasaran diubah ke klasifikasi lebih tinggi kerana penambahbaikan kebolehcapaian atau ke tahap lebih rendah kerana kemerosotan pelaburan, sekali gus dimasukkan ke dalam Senarai Pemerhatian.

Dalam pada itu, FTSE Russell turut mengumumkan China tersenarai dalam WGBI bermula Oktober 2021. - DagangNews.com