Malaysia dipilih ketuai kumpulan Metrologi Perundangan Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Malaysia dipilih ketuai kumpulan Metrologi Perundangan Asia Pasifik

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), sebuah makmal pengukuran kebangsaan di bawah SIRIM Berhad, dilantik sebagai Presiden dan Sekretariat Forum Metrologi Perundangan Asia Pasifik (APLMF) selama tempoh dua tahun. 

 

Pelantikan itu menjadikan Malaysia sebagai negara membangun pertama dari rantau ASEAN yang diberi mandat sebagai Presiden dan Sekretariat APLMF. 

 

Fungsi APLMF antara lain, sebagai penyelaras program, secretariat serta menganjurkan mesyuarat tahunan dan menyokong pelaksanaan rangka kerja APLMF. 

 

APLMF adalah kumpulan pihak berkuasa metrologi perundangan yang berperanan membangunkan metrologi perundangan dan mempromosi perdagangan bebas dan terbuka di rantau Asia Pasifik melalui penyelarasan dan penghapusan halangan teknikal atau pentadbiran terhadap perdagangan dalam bidang metrologi perundangan.  

 

Ditubuhkan pada November 1994, APLMF diwujudkan dangan 14 anggota ekonomi dari Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) seperti Australia, Kanada, Republik China, Indonesia, Jepun, Rebublik Korea, Malaysia, New Zealand, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, China Taipei, Thailand dan Amerika Syarikat. 

 

Setakat ini, APLMF dianggotai 27 buah negara.

 

 

Ahmad Tajuddin Ali
Ahmad Tajuddin Ali

 

 

Pengerusi Majlis Pengukuran Kebangsaan, Tan Sri Ir. Dr. Ahmad Tajuddin Ali berkata, Malaysia melalui NMIM telah menunjukkan komitmen dan kepakarannya dalam metrologi perundangan di rantau Asia Pasifik dengan merealisasikan objektif APLMF apabila dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Eksekutif APLMF sejak 2002. 

 

“Jawatankuasa tersebut telah mencadangkan agar Malaysia dipertimbangkan untuk menyandang jawatan Presiden dan Sekretariat APLMF untuk menggantikan Presiden dan Sekretariat dari Piawaian Perdagangan (Kementerian Perniagaan, Inovasi & Pekerjaan), New Zealand.

 

"New Zealand adalah Presiden dan Sekretariat APLMF sejak 2015. Antara negara lain yang pernah menyandang jawatan berkenaan adalah China, Jepun dan Australia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Ahmad Tajuddin berkata, pelantikan tersebut telah diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan Pengarah Kanan NMIM, Dr. Osman Zakaria adalah Presiden APLMF yang baru. 

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berbangga dengan pelantikan NMIM sebagai Presiden dan Sekretariat APLMF. 

 

"Saya berharap NMIM akan berjaya meletakkan Malaysia sebagai peneraju metrologi dan meningkatkan sektor ini di peringkat nasional dan rantau Asia Pasifik,” katanya. 

 

NMIM adalah Makmal Pengukuran Standard Nasional di bawah Akta Sistem Pengukuran Nasional 2007 (Akta 675); dan berperanan sebagai penjaga di bawah Akta Timbang dan Ukuran 1972 (Akta 71). 

 

Agensi ini berperanan menyebarkan kebolehkesanan pengukuran ke seluruh negara berdasarkan Sistem Unit Antarabangsa dan mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan infrastruktur metrologi nasional memenuhi dan mematuhi standard pengukuran global. - DagangNews.com