Malaysia disaran terus utamakan usaha bendung COVID-19, kata Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia disaran terus utamakan usaha bendung COVID-19, kata Bank Dunia

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Bank Dunia melihat adalah mustahak untuk Malaysia memastikan usaha mengekang penularan COVID-19 kekal sebagai keutamaan negara dalam jangka masa pendek. 

 

“Apa yang paling penting adalah untuk mengekang pandemik dan melindungi isi rrumah rentan dalam jangka masa pendek.

 

“Sementara itu, bagi jangka masa panjang, dasar fiskal perlu ditumpukan semula kepada pemerkasaan penimbal untuk menangani cabaran pada masa akan datang dan mempertahankan pembiayaan awam,” kata Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Shakira Teh Sharifuddin.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan Bank Dunia terhadap Malaysia baru-baru ini, pada program Mid-day Update Bernama TV hari ini.

 

Bank Dunia dalam laporan Ekonomi Malaysia, Malaysia Economic Monitor: Sowing the Seeds menjangkakan Malaysia akan berkembang 6.7% pada 2021 selepas negara diunjur berdepan penguncupan 5.8% tahun ini akibat wabak COVID-19.

 

Unjuran yang dibuat itu lebih tinggi mengatasi pertumbuhan global pada 4.2% untuk tahun hadapan, selepas menguncup 5.2% tahun ini.  

 

Badan antarabangsa itu menyifatkan kejayaan mengekang gelombang ketiga pandemik itu dan juga pengagihan vaksin akan memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih pesat berbanding jangkaan sebelum ini. 

 

Ini akan mendorong pemulihan dalam permintaan pengguna dan meningkatkan keyakinan pelabur sekali gus menyaksikan aktiviti ekonomi domestik yang kembali pulih pada tahun hadapan.

 

Jelas Shakira Teh, pemulihan ekonomi Malaysia pada tahun hadapan didorong oleh lonjakan semula daripada paras terendah pada 2020, eksport terus bertambah baik serta peningkatan momentum dalam penggunaan swasta dan pelaburan. - DagangNews.com