Malaysia-Hungary anjur mesyuarat suruhanjaya ekonomi bersama tahun ini | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Hungary anjur mesyuarat suruhanjaya ekonomi bersama tahun ini

Malaysia-Hungary

KUALA LUMPUR 24 Mac. - Malaysia dan Hungary buat pertama kalinya bakal menganjurkan mesyuarat ekonomi bersama di Kuala Lumpur tahun ini.

 

Duta Hungary ke Malaysia, Dr. Petra Ponevács-Pana berkata, mesyuarat yang akan melibatkan pegawai kanan kerajaan dan sektor swasta itu dilihat sebagai landasan terbaik untuk mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara berkenaan.

 

"Jika keadaan mengizinkan, kami berharap Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Hungary, Peter Szijjarto dapat turut sama pada mesyuarat itu dalam usaha untuk meningkatkan hubungan dagang kedua-dua negara.

 

"Selain itu, kami juga akan membincangkan dan mengenal pasti tiga hingga empat projek yang boleh diusahakan syarikat Hungary dan Malaysia termasuk projek pengurusan sampah di Selangor dan membina penyelesaian kos efektif dan penjimatan tenaga yang bertujuan mengurangkan penggunaan tenaga penyejukan," katanya seperti dilapor Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, meskipun terdapat sekatan disebabkan COVID-19 pada 2020, Malaysia menjadi rakan dagang kedua terbesar dari ASEAN di Hungary.

 

Status berkenaan melibatkan lebihan perdagangan sebanyak AS$845 juta dalam import Hungary, manakala eksport Hungary ke Malaysia berjumlah AS$144 juta.

 

Tambah Dr. Petra, pihaknya berharap hubungan dagang yang lebih baik pada 2021 dapat dipacu oleh usaha vaksinasi COVID-19 yang telah dimulakan di Hungary pada Disember dan Malaysia pada Februari tahun ini.

 

Suruhanjaya ekonomi bersama itu adalah hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Hungary dan Malaysia pada 15 November 2019 di Budapest.

 

Katanya, MoU tersebut bertujuan untuk memperkukuh, mempromosi dan membangunkan kerangka kerjasama ekonomi atas dasar persamaan dan faedah bersama dalam pelbagai bidang kerjasama.

 

Menyentuh berkaitan hubungan diplomatik kedua-dua negara, beliau berkata, Malaysia merupakan rakan kongsi dari ASEAN dan sejak itu hubungan di bidang ekonomi, budaya dan pendidikan tinggi sentiasa diperkukuhkan. - DagangNews.com