KUALA LUMPUR 11 Julai - Malaysia dan India memperkemaskan lagi kerjasama pertahanan pada peringkat tertinggi kedua-dua negara termasuk dalam bidang sains, teknologi dan industri.
Perkara tersebut diterjemahkan menerusi lawatan Menteri Pertahanan India, Shri Rajnath Singh ke Malaysia sekali gus mencerminkan kepentingan hubungan pertahanan dua negara.
Kedua-dua negara memulakan kerjasama pertahanan pada 1993 dan sepanjang tempoh tersebut ia telah membina persefahaman yang utuh.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak menerajui Kementerian Pertahanan India empat tahun lalu.
Delegasi Menteri Pertahanan India ini tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan rasmi tiga hari ini.
Minggu lalu, Panglima Tentera Udara India, Marshal VR Chaudhari mengadakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia bagi mengukuhkan persefahaman antara dua angkatan udara.
Lawatan Shri Rajnath Singh dimulakan dengan kunjungan hormat terhadap rakan sejawatnya, Datuk Seri Mohamad Hasan di Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Pertukaran Antara Kerajaan Malaysia-India Untuk Pindaan Kepada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Pertahanan yang telah ditandatangani pada tahun 1993.
Ia dimeterai antara Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Setiausaha Khas Kementerian Pertahanan India, Nivedita Shukla Verma.
Perjanjian persefahaman ini adalah bagi memudahkan lagi aktiviti dua hala antara ketiga-tiga perkhidmatan tentera Malaysia-India pada masa hadapan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju meneroka lebih banyak kerjasama antara Malaysia dan India dalam melaksanakan operasi bersama antara ketiga-tiga perkhidmatan dalam masa terdekat.
Persamaan aset pertahanan antara Malaysia-India juga akan meningkatkan kerjasama terutamanya dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Selain itu, kedua-dua menteri ini juga bersetuju untuk mengadakan Forum SU-30 dan Kumpulan Kerja Hal Ehwal Strategik untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua kementerian.
Seterusnya, Shri Rajnath Singh mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Beliau juga bakal merasmikan pejabat serantau firma aeroangkasa India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) di Plaza Sentral Kuala Lumpur.
HAL antara enam syarikat yang telah mengemukakan cadangan bagi merebut kontrak membekalkan 18 buah pesawat tempur ringan (LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Walaupun tidak berjaya mendapatkan kontrak bernilai kira-kira RM4 bilion itu, HAL dikatakan tetap komited untuk meneroka kerjasama lain pada masa hadapan.
Ini kerana HAL juga berhasrat menawarkan kepakaran dalam program menaik taraf pesawat milik TUDM iaitu Sukhoi SU-30MKM dan Hawk.
Sebagai sebuah daripada syarikat pengeluar komponen pesawat-pesawat buatan Rusia, HAL juga mempunyai kemahiran dalam bidang senggaraan serta menaik taraf pesawat.
Pada Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi Mei lalu, India antara pempamer terbesar dengan menampilkan beberapa teknologi baru pertahanan.
Dalam aspek ketenteraan, Malaysia dan India mempunyai banyak persamaan termasuk tradisi memandangkan kedua-duanya adalah negara Komanwel.
Dua negara ini juga mengoperasikan aset pertahanan yang serupa misalnya pesawat tempur Sukhoi SU-30 dan kapal selam Scorpene.
Malaysia menggunakan dua buah Scorpene lebih awal ialah pada tahun 2007 manakala India mula mengoperasikan enam buah kapal selam ini enam tahun lalu.
Cuma bezanya, India membina sendiri kapal selam Scorpene dengan bantuan Perancis di limbungan perkapalan Mazagon, Mumbai.
Dengan kemahiran yang dimiliki ini, India mampu untuk melaksanakan selenggaraan kapal selam tersebut serta lain-lain kerja kejuruteraan tinggi yang mana ia boleh dimanfaatkan negara lain seperti Malaysia.
Begitu juga dalam kerjasama melibatkan pesawat tempur Sukhoi SU-30 yang mana India kini dalam fasa menaik taraf pesawat-pesawat yang dimiliki kepada varian Super Sukhoi dengan bantuan Rusia. - DagangNews.com