Malaysia, Indonesia akan laksana TCA untuk hubungkan kedua-dua negara | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Indonesia akan laksana TCA untuk hubungkan kedua-dua negara

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) disambut Presiden Indonesia, Joko Widodo, sebaik tiba di Istana Bogor, hari ini.
 
 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Malaysia dan Indonesia mencapai persertujuan bersama untuk melaksanakan Aturan Koridor Perjalanan (TCA) atau Laluan Vaksin Penuh (VTL) bagi menghubungkan kedua-dua negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif perjalanan itu akan menghunbungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara kemudian akan dikembangkan ke destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko rendah.

 

Beliau berkata, ia akan memberi keutamaan kepada individu yang sudah mendapat suntikan vaksin penuh bagi katogori pengembara untuk tujuan rasmi, peniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

 

"Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19.

 

"Inisiatif ini tentunya akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara dengan pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi antara keperluan dan membangunkan semula ekonomi serta menjaga aspek keselamatan juga kesihatan awam.

 

"Saya dan Bapak Presiden (Joko Widodo) berharap inisiatif ini dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Perdana Menteri dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia diberikan sambutan permaidani merah serta kawalan kehormat di Istana Bogor dan beliau bersama Presiden Indonesia memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

 

Ismail Sabri juga memberi jaminan kepada Jokowi bahawa kerajaan Malaysia akan meastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap terpelihara menerusi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diluluskan pindaannya pada tahun lalu dalam menjamin keselesaan penginapan pekerja.

 

Beliau juga mengambil maklum tentang  kemajuan proses bagi memuktamadkan Perjanjian Persefahaman (MoU)Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia. 

 

"Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang telah dilanjutkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini,dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baharu Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat, seperti yang pernah dilakukan negara pada 25 tahun yang lepas dari Kuala Lumpur ke Putrajaya. 

 

Beliau berkata, Malaysia siap untuk berkongsi pengalaman berkaitan hal ini dan juga syarikat-syarikat daripada Malaysia bersedia untuk berkerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega ini.

 

"Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 billion pada tahun 2020. 

 

"Pada suku kedua tahun 2021, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak AS$12.53 billion dan pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 billion. Saya mengalu-ngalukan pelabur-pelabur daripada Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia," katanya.-DagangNews.com