Malaysia-Indonesia dilapor anjur kempen minyak sawit ‘lawan’ Eropah | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Indonesia dilapor anjur kempen minyak sawit ‘lawan’ Eropah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Kedua-dua negara berjiran yang merupakan pengeluar minyak sawit terbesar dunia, Malaysia dan Indonesia dilaporkan ‘mengintai’ kerjasama menerusi sebuah kempen untuk menentang kritikan Eropah ke atas produk itu.

 

Umum mengetahui bahawa Eropah berpendirian tegas untuk mengenakan aspek kawal selia ketat ke atas produk minyak sawit yang memberi kesan terhadap penjualan dari Malaysia dan Indonesia. 

 

Menurut Reuters, kedua-dua negara itu telah menghantar permohonan untuk melantik firma advokasi dalam menjalankan kempen di Eropah tahun ini untuk mengatasi kritikan, menerusi platform Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC). 

 

Jika cadangan itu berhasil, ini bakal menyaksikan gabungan kempen minyak sawit buat julung kalinya antara kedua-dua negara. 

 

Indonesia dan Malaysia berhasrat untuk melancarkan kempen itu segera dengan harapan untuk mengubah persepsi negatif minyak sawit di United Kingdom (UK) dan negara-negara lain di EU, dakwa sumber. 

 

Namun, perancangan itu belum dimuktamadkan dan masih lagi dalam perbincangan antara Malaysia serta Indonesia.

 

Pengeluar minyak sawit terutamanya Indonesia dan Malaysia dituduh ‘menggondolkan’ kawasan hutan hujan yang kaya dengan pelbagai hidupan di Asia Tenggara dan mengeksploitasi pekerja asing.

 

Susulan itu, Kesatuan Eropah (EU) dikatakan akan meningkatkan perbincangan tahun ini mengenai beberapa undang-undang berkaitan penebangan hutan dan sistem makanan lestari, sebagai sebahagian daripada Perjanjian Hijau Eropah.

 

Ini dijangka menyekat penggunaan minyak sawit dalam makanan dan bahan bakar.

 

Malaysia dan Indonesia memegang kira-kira 85% pengeluaran minyak sawit di mana 60% dihasilkan oleh Indonesia. 

 

India dan China menjadi pengimport utama minyak sawit berkenaan yang secara tidak langsung memacu lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) sepanjang tempoh pandemik COVID-19. 

 

Sebelum ini, tinjauan unjuran harga yang dilaksanakan Bloomberg menjangkakan harga minyak sawit mampu mencecah paras tertinggi sejak tahun 2011. 

 

Baca : Minyak sawit ‘intai’ harga tertinggi sejak 2011

 

Dalam unjuran itu, harga minyak sawit bakal mencecah RM3,650 pada suku pertama 2021 (1Q21) sebelum menurun kepada RM3,400 pada 2Q21. 

 

Secara keseluruhannya, unjuran yang dibuat itu melibatkan julat harga minyak sawit bermula RM3,000 hingga RM4,150 bagi 1Q21, sementara RM2,500 hingga RM4,280 bagi 2Q21. - DagangNews.com