Malaysia kongsi inisiatif JaminKerja di Persidangan Buruh Antarabangsa Switzerland | DagangNews Skip to main content

Malaysia kongsi inisiatif JaminKerja di Persidangan Buruh Antarabangsa Switzerland

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Malaysia telah berkongsi inisiatif-inisiatif terkini yang dilaksanakan kerajaan antaranya program JaminKerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM4.8 billion pada Persidangan Buruh Antarabangsa sesi ke-110 di Geneva, Switzerland.

 

Persidangan yang dianjurkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bermula dari 27 Mei hingga 11 Jun 2022.

 

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pada 9 Jun 2022, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyampaikan kenyataan berhubung inisiatif-inisiatif kerajaan dalam mendepani fasa endemik COVID- 19. 

 

Jelasnya, ucapan itu sebagai tanda sokongan negara ke atas laporan yang telah disediakan oleh Ketua Pengarah ILO bertajuk “The Least Developed Countries: Crisis, Structural Transformation and the Future of Work”. 

 

"Dalam ucapan tersebut, Saravanan telah menekankan mengenai peranan semua pihak dalam usaha memulihkan ekonomi negara. 

 

"Beliau juga turut berkongsi inisiatif kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,500 sebulan melibatkan kenaikan 25% daripada sebelumnya mulai 1 Mei 2022, pelaksanaan program subsidi upah serta pindaan-pindaan terkini terhadap undang-undang buruh yang berkaitan seperti Akta Kerja 1955 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

 

Tambah kenyataan itu, Saravanan juga berkongsi inisiatif sebagai antara negara anggota ILO yang terkini mendepositkan ratifikasi Protokol 29 dalam usaha untuk menangani dan menghapuskan buruh paksa di Malaysia. 

 

"Selain sidang pleno, delegasi Malaysia turut menghadiri beberapa mesyuarat jawatankuasa teknikal yang diadakan secara serentak iaitu Committee on the Application of Standards (CAS), Recurrent Discussion Committee on Employment dan General Discussion Committee on Decent Work and the Social and Solidarity Economy," katanya.

 

Katanya, sidang penutup ILC akan diadakan pada 11 Jun 2022.

 

Persidangan dianjurkan secara tahunan itu melibatkan pihak kerajaan, wakil persatuan majikan dan wakil kesatuan sekerja, yang bertujuan untuk membincangkan serta membuat keputusan mengenai isu berkaitan piawaian perburuhan antarabangsa. 

 

Pada tahun ini, ILC telah diadakan secara hibrid melibatkan penyertaan daripada 187 negara anggota. - DagangNews.com