Malaysia, Korea Selatan mahu kembangkan kerjasama ekonomi | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Korea Selatan mahu kembangkan kerjasama ekonomi

PERJUMPAAN antara Mohamed Azmin (kanan) dan Myung-hee (kiri) hari ini. Gambar - Facebook Azmin Ali

 

KUALA LUMPUR 1 April - Malaysia dan Korea Selatan bertekad mahu mengembangkan kerjasama ekonomi dua hala dalam mengharungi cabaran pandemik COVID-19. 

 

Dalam masa sama, kedua-dua negara berhasrat untuk berganding bahu untuk memanfaatkan industri yang baru muncul, termasuk kereta mesra alam dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Pertukaran pandangan bagi kerjasama tersebut dilaksanakan menerusi perjumpaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama-sama Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yoo Myung-hee.

 

Menurut agensi berita di negara itu, Yonhap News Agency, kedua-dua negara tekad untuk memperluaskan kerjasama mereka dalam pertumbuhan enjin pada masa hadapan seperti bateri yang boleh dicas semula serta bahagian tenaga solar.

 

Malaysia dilaporkan mahu melakukan sebaik mungkin dalam menyokong pelaburan firma-firma bateri di Korea Selatan ke dalam negara.

 

Menurut laporan itu, pada perjumpaan tersebut, kedua-dua menteri turut berkongsi pandangan bahawa perdagangan dan pelaburan tidak seharusnya dijejaskan oleh penularan COVID-19 baharu. 

 

Sehubungan itu, Malaysia dan Korea Selatan berikrar untuk melakukan gerakan bersama dalam memperluas pertukaran ekonomi, termasuk mempermudah prosedur kemasukan bagi pegawai perniagaan.

 

Dalam masa sama, kedua-dua negara juga bersetuju untuk melaksanakan sepenuhnya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam masa terdekat ini.

 

Korea Selatan ketika ini sedang menunggu pelancaran rasmi RCEP pada tahun ini yang meliputi ASEAN serta rakan dialognya seperti China, Jepun, Australia dan New Zealand. 

 

Malaysia dan Korea Selatan juga bersetuju untuk mengembangkan rundingan kedua-dua negara ke arah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala.

 

Korea Selatan mempunyai FTA yang berbeza dengan ASEAN, dan negara itu meneroka perjanjian dua hala dengan setiap anggota untuk meningkatkan hubungan perdagangan.

 

Untuk rekod, Malaysia merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Korea Selatan di Asia Tenggara. - DagangNews.com