Malaysia negara pertama dunia luluskan produk Ravida® | DagangNews Skip to main content

Malaysia negara pertama dunia luluskan produk Ravida®

Noor Hisham Abdullah

Noor Hisham Abdullah

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Malaysia muncul sebagai negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk Ravida® Tablet 200mg (Ravidasvir Hydrochloride 200mg).

 

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran bersyarat produk berkenaan diluluskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia dalam mesyuarat kali ke-358 pada 4 Jun 2021.

 

"Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan penggunaan produk Ravida®, yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan virus hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa.

 

"Produk ini dikilangkan oleh Doppel Farmaceutici S.R.L, Itali yang mana Pharmaniaga Manufacturing Berhad adalah pemegang pendaftaran produk tersebut di Malaysia," jelas beliau dalam satu kenyataan..

 

Jangkitan HCV merupakan isu kesihatan awam di negara ini dan Malaysia komited untuk menghapuskan jangkitan berkenaan menjelang tahun 2030. 

 

Bagaimanapun, pengesanan dan rawatan menggunakan ubat Direct Acting Antivirals (DAA) ketika ini memerlukan kos yang tinggi. 

 

Oleh itu, terdapat keperluan untuk mencari penyelesaian alternatif dalam mendapatkan rawatan yang berkesan dengan kos yang lebih berpatutan.

 

Pelan Strategik Nasional bagi Hepatitis B dan C 2019-2023 telah dibangunkan oleh KKM untuk merangka hala tuju yang jelas dan memastikan matlamat menghapuskan hepatitis B dan C dapat dicapai.

 

Tambah beliau lagi, kelulusan pendaftaran bersyarat produk Ravida® itu memerlukan pemegang pendaftaran produk untuk mengemukakan data tambahan dan terkini produk tersebut dari semasa ke semasa.

 

Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan keberkesanan dan keselamatannya diperbaharui dan perbandingan manfaat-risiko bagi produk berkenaan sentiasa positif. - DagangNews.com