KUALA LUMPUR 18 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara dan tidak akan melayan sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak berkenaan negeri Sabah.
Ismail Sabri menegaskan, Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia sejak 16 September 1963.
"Kerajaan Malaysia memandang serius isu kedaulatan negara, termasuk kedaulatan dan keutuhan Sabah dalam Malaysia.
"Tuntutan oleh pihak yang mengaku sebagai waris kepada Sultan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia melalui satu prosiding timbang tara (arbitration) antarabangsa adalah tidak sah dan melanggari undang undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana pelantikan penimbang tara, Dr Gonzalo Stampa sudah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Madrid pada 29 Jun 2021 yang mengakibatkan semua keputusan dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa adalah tidak sah, termasuk Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022.
"Walaupun pelantikan Dr Stampa telah dibatalkan, tetapi Dr Stampa tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid dengan memindahkan tempat timbang tara ke Paris, Perancis dan telah meneruskan prosiding timbang tara tersebut sehinggah beliau mengeluarkan Final Award tersebut.
"Bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara, kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award tersebut pada 3 Mac 2022 di Mahkamah di Paris, Perancis.
"Ini bagi memastikan keputusan Final Award tersebut tidak boleh dikuatkuasakan oleh penuntut pada bila-bila masa dan di mana-mana negara dan supaya Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) seperti yang dituntut," katanya.
Beliau berkata, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan isu itu secara tuntas dan muktamad.
Tegasnya, Kerajaan Malaysia tidak akan berganjak walau seinci pun dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara dan kedudukan Sabah dalam Malaysia akan dipertahankan untuk selama lamanya. - DagangNews.com