Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Amerika Syarikat (AS) yang merekodkan data pembuatan ISM yang lebih baik di luar jangkaan, sekali gus memberi harapan kepada sektor pembuatan untuk berkembang kukuh dan membuka peluang pekerjaan sepanjang tahun ini.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) AS berkembang 60.7 pada Disember berbanding 57.5 bulan sebelumnya.
Pada masa sama, PMI China juga kekal berada pada paras yang kukuh.
Menurut AmBank Research, PMI Caixin yang melebihi paras 50 bagi tempoh 8 bulan berturut-turut menunjukkan perkembangan dalam aktiviti pembuatan.
Walaupun indeks turun ke paras rendah, 53.0 pada Disember berbanding November, 54.9, ia masih merupakan paras tertinggi dekad ini.
"Pastinya, Malaysia sebagai negara perdagangan dijangka meraih manfaat daripada aktiviti pembuatan global yang semakin bertambah baik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, pemulihan ekonomi pada era selepas pandemik akan berterusan beberapa bulan dengan petunjuk makroekonomi semakin kukuh dalam tempoh 6 bulan akan datang.
"Meskipun PMI Malaysia masih mengalami penguncupan tetapi trend semakin meningkat," katanya.
PMI Malaysia pada Disember meningkat kepada 49.1 berbanding 48.4 pada November, tertinggi sejak Ogos, iaitu 49.3.
Menurut IHS Markit, dengan mengambil kira kaitan antara PMI dan statistik rasmi, angka pada Disember menunjukkan pertumbuhan tahun dalam pengeluaran perindustrian dan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
AmBank Research berkata, di sebalik peningkatan PMI, ia masih kekal menguncup dengan berada di bawah ambang 50, yang memisahkan antara pengembangan daripada penguncupan bagi bulan kelima berturut-turut.
"Data itu menunjukkan pengeluaran dan pesanan baharu kekal lemah memandangkan permintaan pasaran terus dibelenggu dengan pandemik COVID-19," katanya.
Menurut firma itu, dengan meningkatnya keyakinan terhadap sektor berkenaan terutama tahun ini, ia sepatutnya berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Sehubungan itu, ekonomi pada 2021 dijangka berada dalam landasan pemulihan sekitar 6.5 hingga 7%, disokong oleh permintaan luaran, aktiviti domestik dan asas yang rendah. - DagangNews.com